NILAI, 2 DIS 2016 – Karnival Vaganza Mukim 18 Sri Medan dan Parit Sulong (K-GANZ) di Daerah Batu Pahat merupakan satu karnival yang dianjurkan oleh Duta Jauhar 3.0 Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Bertemakan ‘Enhancing Potential of People with Disabilities”, penganjurannya yang melibatkan seramai 70 orang sukarelawan dari kalangan pelajar USIM adalah usahasama pihak Yayasan Pelajaran Johor, Pusat Khidmat Wakil Rakyat Dun Sri Medan, Pusat Khidmat Wakil Rakyat Parlimen Sri Medan dan JPMM Sri Medan.

Karnival selama 3 hari yang bermula pada 24 November lalu menyediakan pelbagai aktiviti kemasyarakatan telah pun mendapat sambutan memberangsangkan dan disertai hampir 200 orang penduduk setempat sekitar daerah. Antara aktivitinya adalah slot ceramah agama Malam Cinta Islam, forum bertajuk “Talk future of Disabilities”, Jauhar Charity Fun J-Robik, aktiviti sukan rakyat serta aktiviti riadah yang lain.

bersama-jayakan-erobik-untuk-gaya-hidup-sihat dato-nc-yang-turut-hadir-di-malam-cinta-islam sukan-rakyat-bersama-masyarakat

Majlis perasmian karnival dirasmikan oleh YB Dato’ Haji Zulkurnain Bin Haji Kamisan, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Kesenian, Kebudayaan dan Warisan Negeri Johor, merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Johor Kawasan Sri Medan pada masa yang sama menyokong usaha yang dipamerkan oleh mahasiswa USIM.

“Duta Jauhar 3.0 hanya mendapat peruntukan yang kecil bagi menjayakan program ini kerana saya ingin melihat usaha mereka mencari dana sendiri pada masa yang sama boleh membina sifat kepimpinan yang mempunyai nilai kebolehpasaran yang tinggi sejajar dengan keperluan masa kini,” ucap YB Dato’ Hj Zulkurnain.

Turut hadir di majlis perasmian adalah Tn Hj Abd Wahab Ridwan, Pengurus Besar Yayasan Pelajaran Negeri Johor, Tn Hj Ismail Roslan, ADUN Kawasan Samerah, Tn Hj Mohd Yasin, Wakil Pegawai Pejabat Daerah Batu Pahat merangkap Penghulu Kanan Daerah Batu Pahat, Datin Adib Nafilah Abu Dardak, Pengerusi Pusat Pemulihan Dalam Komuniti Caw. Sri Medan dan Parit Sulong serta Dr Fuadah Johari, Penyelia Duta Jauhar 3.0.

Program Duta Jauhar 3.0 : Perkenal Projek Pertanian kepada Golongan OKU

Duta Jauhar 3.0 dianggotai seramai  15 mahasiswa USIM yang menjayakan projek bertemakan ‘Enhancing Potential People With Disabilities’ dan  memperkenalkan projek pertanian iaitu penanaman cendawan tiram kelabu yang telah bermula sejak 26 Jun lalu.

img_5710 img_5551 img_5656

Melalui projek pertanian ini, Duta Jauhar 3.0 mensasarkannya khusus kepada 15 orang golongan OKU di Daerah Sri Medan dan Parit Sulong, Batu Pahat.

“Syukur, Alhamdulillah sehingga kini sebanyak tiga bangsal telah berjaya kami dirikan dengan kerjasama orang kampung dan peserta OKU serta sokongan beberapa dermawan malah kami sendiri turut sama melihat proses pembinaan bangsal cendawan tiram kelabu ini,” ujar Pengarah Projek Duta Jauhar 3.0, Muhammad Sollehin Bin Md Satar.

img_4702 img_4703 antara-hasil-tanaman-cendawan

Program Duta Jauhar merupakan sebuah program cetusan idea YAB Dato’ Mohamed Khaled bin Nordin, Menteri Besar Johor dalam membangunkan sosio-ekonomi rakyat Johor melalui penglibatan Mahasiswa Johor. Ia diinspirasi bagi memberi ruang kepada anak muda dalam usaha meningkatkan kedudukan sosio-ekonomi masyarakat di Johor khususnya masyarakat di luar bandar. Pada masa yang sama, mahasiswa ini menjadi ejen yang menghubungkan kerajaan negeri dengan masyarakat melalui pendekatan Strategi Lautan Biru Nasional (NBOS).

 

Disediakan oleh:

Nur Amalina Mohd Misman

Unit Media Dan Publisiti Duta Jauhar USIM

 

Dikemaskini oleh:

Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)

Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

71800 Nilai, Negeri Sembilan

Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204