NILAI, 27 November 2018 – Seramai 2,712 graduan menerima ijazah yang berlangsung sebanyak lima(5) sidang pada Majlis Konvokesyen ke 16 USIM yang diadakan di Dewan Tuanku Canselor bermula 27 hingga 29 November 2018. Manakala Pesta Konvokesyen pula bermula 24 hingga 29 November 2018 di perkarangan Kompleks Sukan Tunku Najihah.

Istiadat Pembukaan Majlis Konvokesyen disempurnakan oleh DYMM Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus, Tuanku Aishah Rohani binti Almarhum Tengku Besar Mahmud, Canselor USIM.

Daripada jumlah tersebut, seramai 113 orang penerima Doktor Falsafah, 119 orang penerima Sarjana, 101 orang penerima Diploma dan 2,379 orang penerima Ijazah Sarjana Muda. Peningkatan graduan yang menerima ijazah pada tahun ini meningkat kepada 5.5%.

Graduan PhD pada tahun ini datang daripada 15 buah negara negara meliputi Malaysia, Algeria, Bahrain, Mesir, Brunei, Indonesia, Iraq, Jordan, Libya, Nigeria, Oman, Sudan, Syria, UAE dan Yaman. Graduan PhD paling ramai adalah daripada negara Libya iaitu seramai 38 orang dan Malaysia yang kedua tertinggi iaitu seramai 20 orang.

Majlis Konvokesyen tahun ini memperkenalkan tema “Pembangunan Lestari”. Pembangunan lestari dan mapan turut ditekankan di dalam Islam kerana ia bersangkutan dengan hubungan manusia dengan alam sekitar dari aspek tauhid, melihat tanda-tanda kekuasaan Allah dan tanggungjawab sebagai khalifah yang mentadbir urusan di dunia.

Selain itu turut berkait kepada menjaga amanah, berlaku adil dan menjaga keseimbangan alam sekitar (mizan) agar dapat memberikan manfaat dalam kehidupan di dunia dan akhirat. Konsep Pembangunan Lestari unik kerana ia membawa rahmat kepada sekalian alam termasuk manusia, haiwan dan alam sekitar. Menyedari akan kepentingan tentang perkara ini, USIM memilih untuk mengangkat tema “Pembangunan Lestari” sempena Majlis Konvokesyen Ke-16 tahun ini.

Dalam majlis konvokesyen ini turut disampaikan ijazah secara anumerta dengan ahli keluarga terdekat kepada dua graduan yang telah meninggal dunia.

Mereka ialah Almarhumah Nurnadiana binti Ramlee, Sarjana Muda Sains dengan Kepujian (Sains Aktuari dan Pengurusan Risiko) (FST) berasal daripada Johor disahkan meninggal dunia kerana jangkitan virus yang kronik pada kulit dan organ dalaman semasa menjalani Latihan Industri pada 9 April 2018.

Manakala Almarhumah Sahadah binti Ajik, Sarjana Muda Fiqh dan Fatwa dengan Kepujian (FSU) berasal daripada Sabah disahkan menghidap penyakit kronik iaitu kegagalan buah pinggang tahap akhir (End Stage Renal Failure) semenjak September 2016 dan telah menjalani dialisis kendiri iaitu peritoneal dialysis (CAPD) untuk menggantikan fungsi buah pinggang yang telah rosak teruk. Beliau telah meninggal dunia pada minggu pertama menjalani Latihan Industri iaitu pada tanggal 10 Februari 2018 iaitu hari pertama melaporkan diri di Mahkamah Rendah Syariah Kota Belud, Sabah.

USIM pada tahun ini turut mengiktiraf tiga tokoh yang telah memberi sumbangan besar kepada dunia akademik, pendidikan tinggi dan masyarakat. Tan Sri Abdul Wahid Omar dan Dato’ Muhammad Muda dianugerahkan Ijazah Doktor Falsafah (Kehormat) Ekonomi dan Pentadbiran Muamalat manakala, Tuan Haji Mohd Alwi Yusoff dianugerahkan Ijazah Kehormat Sarjana.

Tan Sri Abdul Wahid Omar merupakan mantan Pengerusi Kumpulan, Permodalan Nasional Berhad, beliau dilantik ke jawatan tersebut selepas menamatkan tugas sebagai Senator dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab ke atas perancangan ekonomi pada Jun 2013 sehingga Jun 2016.  Sebelum pelantikan beliau sebagai ahli kabinet, Tan Sri Abdul Wahid merupakan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Maybank, iaitu sebuah kumpulan perbankan terbesar di Malaysia dan salah satu kumpulan perbankan terbesar di Asia Tenggara, dari Mei 2008.  Beliau juga pernah menyandang jawatan sebagai Pengerusi Persatuan Bank Bank Dalam Malaysia. Beliau merupakan Fellow Persatuan Akauntan Bertauliah (ACCA, UK), ahli Institut Akauntan Bertauliah di England & Wales (ICAEW) dan ahli Institut Akauntan Malaysia (MIA).

Dato’ Muhammad Muda merupakan Naib Canselor kedua USIM (2009-2012) menggantikan Prof. Emeritus Tan Sri Dato’ Dr. Abdul Shukor Hj Husin, yang merupakan ‘arkitek’ perintis pembangunan USIM selama 10 tahun.  Prof. Dato’ Dr. Muhamad Muda memulakan kerjaya di USIM sebagai Dekan Fakulti Ekonomi & Muamalat bermula tahun 2001 hingga 2007. Beliau telah memainkan peranan penting dalam penubuhan Fakulti Ekonomi dan Muamalat serta mempelopori penawaran program pengajian Ekonomi dan Muamalat. Kemudian beliau dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa USIM. Sebagai Naib Canselor USIM yang kedua, beliau telah meletakkan fokus dan matlamat untuk memastikan USIM menjadi sebuah institusi ilmu yang terkehadapan berteraskan pengajian Islam.

Tuan Haji Mohd Alwi Yusoff merupakan pemegang Ijazah Sarjana Syariah dari Universiti al Azhar, Kaherah. Tokoh yang bertanggungjawab dalam memantapkan penubuhan Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah (FPQS) USIM di awal penubuhan universiti. Memulakan khidmat di USIMpada 2000 sebagai pensyarah, Fakulti  Syari’ah dan Undang-Undang. Pada 2001 beliau dilantik sebagai Pemangku Dekan FPQS sehingga 2004. Menamatkan perkhidmatan bersama universiti pada 2007, beliau menabur bakti sebagai Dekan, Foundation Studies, Al-Madinah International University.

Antara jawatan yang pernah disandangnya adalah Pengerusi Lembaga Pengarah, Koperasi Majlis Guru-Guru Agama Sekolah-Sekolah Menengah (Koperasi MGU), Kelantan; Ahli Lembaga Pemegang Amanah, Yayasan Guru MalaysiaBerhad (YGMB); Ahli Lembaga Pengarah, YGMB-ASHA Holiday Sdn. Bhd; Ahli, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dan Pengerusi Majlis Penasihat Pentadbiran Institut Kemahiran Baitulmal Wilayah Persekutuan.

Dua penerima Anugerah Pelajaran DiRaja (Pingat Jaya Cemerlang) dianugerahkan kepada Zakeyyah Zabarjad Mohd Said dan Muhammad Syafiq Suhaimi, dua orang penerima Anugerah Canselor dianugerahkan kepada Fakhri Ajmal Amir (Sarjana Muda) dan Kamilin Jamilin (Siswazah) dan Nur Sakinah Hamzah dianugerahkan  Pingat Emas Naib Canselor. Satu anugerah baharu yang kali pertama diperkenalkan dalam Majlis Konvokesyen kali ini ialah Anugerah Khas Daya Cemerlang yang diberikan kepada pelajar Asnaf yang mendapat bantuan zakat yang menunjukkan prestasi cemerlang dalam pengajian seperti dalam kriteria yang ditetapkan universiti.