NILAI, 16 Januari 2020 – Dalam usaha menyediakan suasana pembelajaran yang kondusif dan berkualiti, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah menyiapkan 33 buah unit kediaman yang mampu memuatkan 104 penghuni di Blok C, Kolej Kediaman Acacia Avenue. Majlis Perasmian ini dirasmikan oleh Naib Canselor USIM YBhg. Prof Dr. Mohamed Ridza Wahiddin.

Prof Dr. Mohamed Ridza Wahiddin berkata, pembangunan perumahan atau penempatan adalah salah satu strategi pendekatan ke arah mencapai matlamat mensejahterakan mahasiswa dan mahasiswi dan masyarakat luar. Ini selaras dengan piagam pelanggan USIM iaitu menyediakan perkhidmatan dan prasarana terbaik berorientasikan konsep integrasi dalam menyokong proses pembelajaran dan pengajaran.

“Projek naiktaraf kolej kediaman pelajar ini adalah merupakan cetusan idea En. Hammad Farhi Mohd Saudi, Timbalan Pendaftar Kanan merangkap Pengarah Pusat Komunikasi Strategik dan Pengetua Pelajar luar Kampus USIM”. Usaha menaiktaraf kolej kediaman kepada Konsep Premium ini telah diluluskan oleh pihak Pengurusan Universiti dan ianya adalah merupakan salah satu agenda dan usaha untuk menjana pendapatan universiti seterusnya menaikkan imej universiti dari aspek kemudahan yang disediakan kepada para pelajar, khususnya kepada pelajar antarabangsa dan kepada para pelajar tempatan yang berkemampuan. Syabas juga diucapkan kepada Pusat Perumahan Pelajar (PRUPEL) yang sama-sama menjayakan agenda universiti ini”.

Jelas beliau lagi, pengurusan USIM sangat komited dan bersungguh dalam mencari peluang pembinaan kolej kediaman di dalam kampus USIM dengan membuat kunjungan hormat kepada badan-badan dan agensi seperti Khazanah dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi melihat model pembiayaan kolej kediaman melalui konsep Private-Public Partnership”.

Pengarah PRUPEL Encik Salehudin Sukor berkata, buat masa ini, PRUPEL mendapat sokongan penuh dan kerjasama dari jabatan-jabatan yang berkaitan dalam mempromosikan tentang USIMLODGE ini kepada pelajar iaitu seperti Jabatan Pemasaran Kemasukan Pelajar, USIM Alamiyyah, Pusat Pengajian Siswazah dan juga melalui media sosial rasmi PRUPEL iaitu Facebook dan Instagram. Kadar sewaan yang ditetapkan RM450 sebilik dengan kelengkapan yang lengkap dan selesa.

“Besar harapan kami dengan adanya USIMLODGE Pusat Perumahan Pelajar dapat menyediakan penginapan yang lebih kondusif dengan kadar yang berpatutan yang ditawarkan dapat menarik lebih ramai pelajar antarabangsa khususnya dan pelajar tempatan menyambung pengajian di USIM. Sekaligus dapat memperkenalkan USIM dengan lebih meluas lagi”, jelasnya lagi.

Turut hadir Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof Madya Dr Rushdan Mohd Jailani dan Encik Md Ishah Rahman  Ketua Bahagian Hal Ehwal Pelajar

Disediakan oleh:
Noorumaina Mohamed Yunus
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan