NILAI 27 Feb. – Seramai 150 masyarakat orang asli dari Kampung Langkap Dangi, Jempol, Negeri Sembilan telah mengadakan lawatan ke Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dekat sini baru-baru ini.

Menurut Naib Canselor USIM, Y. Bhg Profesor Dato’ Dr. Muhamad Muda, lawatan masyarakat orang asli ke USIM ini adalah bertujuan untuk memberikan pendedahan kepada mereka bagaimana senario kehidupan sebagai pelajar universiti agar dapat menarik minat anak-anak masyarakat orang asli untuk menuntut ilmu hingga ke menara gading.

“Lawatan ilmiah ini juga penting kepada mereka sebagai medan untuk membantu golongan masyarakat orang asli dalam menempuh arus pembangunan dan pembentukan jati diri lebih-lebih lagi dalam era globalisasi,” katanya pada majlis pelancaran program lawatan tersebut yang berlangsung di Dewan Kuliah Fakulti, (DKF 1.1) di USIM.

Sementara itu, Pengarah Program tersebut, Saudara Muhamad Amir Mat Ghani, pelajar tahun tiga, FKP berkata, salah satu objektif daripada program susulan ini adalah untuk mengeratkan kembali hubungan silaturrahim yang telah terjalin dengan keluarga angkat masing-masing.

“Mereka sangat gembira dapat bertemu kami semula di sini dengan suasana yang cukup berbeza,” katanya ketika ditemubual.

Program yang berlangsung selama satu hari ini telah diserikan dengan pelbagai aktiviti indoor dan outdoor seperti tayangan video korporat USIM, lawatan sekitar fakulti, solat Zohor berjemaah, pertandingan mewarna, anyaman, cabutan bertuah dan persembahan daripada anak angkat.

Program anjuran 82 pelajar Tahun 3 Program Da’wah dan Pengurusan Islam itu adalah merupakan program lanjutan daripada Program Khidmat Sosial Masyarakat Orang Asli yang telah diadakan sempena Program Da’wah Tatbiqi pada 8 November 2011 yang lalu di sana.

Oleh:
Fauziah Hassan
Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan