LONDON, 24 OKT 2015 – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) sekali lagi melakar nama dalam pertandingan inovasi antarabangsa, British Invention Show (BIS) yang berlangsung pada 21-24 Oktober 2015 bertempat di Barbican Exhibition Centre, London.

Penyertaan tiga pasukan penyelidik muda USIM tahun ini telah mengulangi kejayaan USIM pada tahun 2013 dan 2014 yang mana kali ini yang lebih membanggakan adalah apabila kesemua kumpulan pelajar USIM membawa pulang 2 emas dan 1 gangsa.

Ini adalah kali ketiga USIM merangkul emas dan mendapat Special Award :Double Gold For International Invention of the Year (Consumer) bagi projek Advanced Hospital Gown oleh Kumpulan Hurma. Turut mendapat emas dan Special Award:Double Gould For Intenational Innovation fo the Year (Leisure) adalah projek Enjoyable Indigenous Sustainable Learning Module oleh kumpulan Duta Jauhar manakala projek Novel Marine Biowaste Active Ultrafiltration (Mba-Uf) Membrane For Dyes Waste Water Treatment) mendapat pingat gangsa oleh kumpulan IMTL_X.

“Tahniah diucapkan kerana ketiga-tiga kumpulan yang USIM hantar setiap tahun ada peningkatan pencapaiannya. Menarik dan uniknya bagi penyertaan kali ini adalah kumpulan-kumpulan ini dari bidang yang berbeza iaitu kimia bagi projek Mba-Uf manakala perubatan bagi projek Advanced Hospital Gown. Idea yang digarap oleh pelajar dan penyelia mencipta satu produk inovasi untuk Ummah serta bercirikan Integrasi Ilmu Naqli dan Aqli,” ucap Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, Prof Dato Dr Mustafa Mohd Hanefah dalam  satu kenyataan.

Kumpulan Hurma memperkenalkan satu pakaian perubatan kepada pesakit di hospital yang patuh syariah serta mematuhi kehendak sebagai seorang Muslim. Ia turut boleh dijadikan telekung yang berfungsi memudahkan Muslim menjalankan kewajipan. Ciptaan ini adalah cetusan idea Dekan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Prof Dr Muhammad Shamsir Mohd Aris serta lapan orang pelajar.

Kumpulan Duta Jauhar memperkenalkan kaedah pembelajaran berkonsepkan “Fun Learning” kepada anak-anak orang asli yang membawa pendekatan pembelajaran berkonsepkan aktiviti di luar berbanding dalam kelas. Kaedah pembelajaran ini dikenalpasti berkesan dan memberi impak sangat ketara setelah setahun pemerhatian dijalankan ke atas anak-anak orang Asli di Labis, Johor.

British Invention Show (BIS) adalah anjuran British Inventors Society dan disokong oleh Intellectual Property Office, Boots Centre for Innovation dan Procter & Gamble berpangkalan di United Kingdom yang berperanan mengenengahkan pelbagai jenis ciptaan yang mampu menjana peluang-peluang perniagaan melalui pelbagai jenis inovasi dan ciptaan pempamer.

Disediakan oleh:

Syazlyna Jamil

PUSAT KOMUNIKASI STRATEGIK (STRACOMM)

Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

71800 Nilai, Negeri Sembilan

Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204