PUTRAJAYA – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) terus melakar kecemerlangan apabila Timbalan Komandan Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) USIM, Lt. Kol. Rozaimi bin Kamarudin, dilantik sebagai Pengerusi Majlis PALAPES Universiti Awam (UA) bagi sesi 2026–2028.

Penyerahan rasmi pelantikan tersebut telah disempurnakan sempena Sesi Kunjungan Hormat Majlis PALAPES Universiti Awam ke atas Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Profesor Dr. Azlinda Azman, yang berlangsung di Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Putrajaya pada 12 Jun 2026 baru-baru ini.

Turut hadir dalam sesi berkenaan ialah Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi (Governan dan Pembangunan), Ts. Dr. Noraisah Spahat; Pengarah Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP), Hirman Awang; pegawai-pegawai KPT; wakil-wakil Majlis PALAPES Universiti Awam; Markas Latihan Tentera Darat serta Bahagian Mobilisasi Angkatan Simpanan (BMAS).

Kunjungan hormat tersebut bertujuan memperkukuh hubungan strategik antara KPT, universiti awam dan agensi berkaitan dalam usaha memperkasa pembangunan serta pengoperasian PALAPES di institusi pendidikan tinggi negara.

Sesi tersebut turut menjadi platform perbincangan berkaitan pengukuhan sinergi antara kecemerlangan akademik dan kesiapsiagaan ketenteraan dalam melahirkan graduan yang berdaya saing, berdisiplin, berjiwa patriotik serta memiliki nilai kepimpinan yang tinggi.

Pelantikan Lt. Kol. Rozaimi merupakan satu pengiktirafan terhadap kepimpinan, pengalaman dan komitmen beliau dalam memperkukuh agenda pembangunan PALAPES di peringkat institusi pengajian tinggi. Pada masa yang sama, pelantikan ini turut mencerminkan kepercayaan kepada USIM untuk terus memainkan peranan signifikan dalam pembangunan modal insan negara melalui program latihan kepimpinan dan ketenteraan yang holistik.

Sebagai badan penyelaras yang menghimpunkan pasukan PALAPES universiti awam seluruh negara, Majlis PALAPES UA berperanan memperkukuh kerjasama strategik, menyelaras pelaksanaan program serta menyokong usaha memperkasa pembangunan pegawai kadet dan anggota PALAPES sejajar dengan aspirasi pendidikan tinggi negara.

Warga USIM merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada Lt. Kol. Rozaimi bin Kamarudin atas pelantikan tersebut dan mendoakan agar beliau dapat menggalas amanah yang diberikan dengan cemerlang demi memperkukuh peranan PALAPES Universiti Awam dalam melahirkan graduan yang berkualiti, berintegriti dan bersemangat patriotisme.

 

Oleh: Muhammad Aizat Mat Nazan