NILAI – Sebanyak 400 pek makanan berbuka puasa yang disumbangkan oleh syarikat Ikhlas Com Travel Sdn Bhd diedarkan kepada para pelajar Tamhidi dan Pelajar Antarabangsa Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di Kolej Kediaman Satu.

Turut hadir ke majlis itu Encik Ikhlas Kamarudin, Ketua Pegawai Eksekutif Ikhlas Com Sdn Bhd; Dr. Fauziah Hassan Pengarah, USIM ‘Alamiyyah; Profesor Madya Chm. Dr. Juliana Jumal, Dekan Tamhidi; dan Encik Mohd Salehudin Sukor, Pengarah Pusat Perumahan Pelajar.

IKHLAS Com merupakan sebuah platform perniagaan baharu di bawah AirAsia yang bertujuan menyokong komuniti Islam di seluruh dunia dengan menyediakan akses yang tiada tandingan kepada amalan berasaskan agama.

Profesor Dr. Mohd Radhi Ibrahim, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) dalam ucapan aluannya berkata, ini merupakan kali ketiga Ikhlas Com Sdn Bhd berkolaborasi bersama USIM untuk program agihan pek iftar.

”Terima kasih kerana menjadikan USIM sebagai salah satu institusi pilihan bagi program ini. Kami amat berbesar hati dengan usaha murni dari Ikhlas Com Sdn Bhd dan berharap kolaborasi ini dapat dikekalkan pada masa hadapan. Semoga hubungan dua hala yang dibina dapat dipertingkatkan terutamanya dalam mengangkat martabat komuniti Islam diseluruh dunia menggunakan kelebihan setiap pihak”, ujarnya.

Turut hadir duta syarikat Ikhlas Com adalah Datuk Rosyam Nor memberi perkongsian kepada para pelajar dan hadirin yang hadir.