Nilai, 21 Oktober  2009 – Seramai 49 Pegawai kadet PALAPES Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang terdiri daripada 25 lelaki dan 24 wanita diserahkan kepada PALAPES UKM dalam satu majlis rasmi yang diadakan di kampus USIM di sini hari ini.

Upacara penyerahan dilakukan dengan menandatangani PLAKA penyerahan Pegawai Kadet PALAPES USIM kepada PALAPES UKM oleh Naib Canselor USIM, Prof. Dato’ Dr. Abdul Shukor Hj Husin dan Naib Canselor UKM, Prof. Tan Sri Dato’ Dr. Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin dengan di saksikan oleh Y.Bhg. Leftenan Jeneral Datuk Zulkifeli bin Mohd Zin, Timbalan Panglima Tentera Darat.

Dalam ucapannya, Y.Bhg. Leftenan Jeneral Datuk Zulkifeli bin Mohd Zin menyeru kepada semua Pegawai Kadet PALAPES agar penyertaan di dalam PALAPES ini tidak terhenti setakat di Universiti sahaja.

“Seharusnya para pelajar sekalian mengambil peluang untuk terus menabur bakti demi maruah negara dengan menyertai pasukan Askar Wataniah Malaysia setelah tamat pengajian di Universiti”, tambah beliau lagi.

Pegawai Kadet PALAPES USIM telah ditumpangkan ke PALAPES UKM bermula Semester I Sesi 2009/2010. Program kerjasama ini telah dipersetujui oleh Komandan PALAPES UKM, Prof. Tan Sri Dato’ Dr. Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin. Penubuhan PALAPES USIM telah mendapat restu dari Panglima Tentera Darat untuk ditumpangkan kepada PALAPES UKM. Latihan kepada Pegawai Kadet diadakan pada hari Sabtu dan Ahad mengikut jadual yang telah ditetapkan. Pelajar PALAPES USIM akan mengikuti pengajaran dan pembelajaran di  UKM sama seperti pelajar PALAPES UKM yang lain.

Pemilihan UKM untuk melatih Pegawai Kadet PALAPES USIM adalah bertepatan dengan misi, visi dan objektif UKM yang merupakan IPTA yang pertama menubuhkan PALAPES dalam negara ini. Sehingga kini seramai 1,994 graduan UKM telah ditauliahkan sebagai Pegawai Muda PALAPES.

Menurut Prof. Dato’ Dr. Abdul Shukor Hj Husin, walau pun USIM tidak dapat melaksanakan program PALAPES di USIM, tetapi kelulusan untuk melatih pelajar USIM sebagai PALAPES UKM membawa pengertian yang sangat bermakna.

“Saya kira ini merupakan langkah pertama bagi penubuhan PALAPES USIM sendiri. Terima kasih kepada Prof. Tan Sri Dato’ Dr. Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin,Naib Canselor UKM yang telah sudi menerima pelajar USIM menjalani latihan program PALAPES di sana”, tambah beliau lagi.

Latihan Pegawai Kadet PALAPES ini mengambil masa tiga tahun berturut-turut. Mereka akan menjalani latihan yang memerlukan pengorbanan dari segi masa, tenaga dan komitmen.

“Walaupun demikian, saya berpendapat bahawa program ini amat baik bagi membina sahsiah diri setiap pelajar yang menyertainya dan sedaya upaya melatih semua pegawai kadet ini sebaik yang mungkin dengan bantuan dari barisan jurulatih PALAPES UKM”, kata Prof. Tan Sri Dato’ Dr. Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin, Naib Canselor UKM dalam ucapannya.

Oleh :
Siti Maizatul Akmar Ismail
Pembantu Wartawan
Unit Perhubungan Awam
pwartawan@usim.edu.my
Tel : 06-7988025/8026/8027/8028