Durian merupakan salah satu tanaman buah-buahan yang penting di negara ini. Sebahagian besar pengeluaran durian adalah untuk memenuhi permintaan tempatan dan hanya 0.1% sahaja digunakan untuk pemprosesan. Durian mempunyai potensi untuk diproses, tetapi pemprosesan hanya dilakukan apabila terdapat buah yang berlebihan atau apabila sebahagian buah rosak atau mutunya menurun dan tidak sesuai untuk dijual segar.
Pusat Penyelidikan Makanan, MARDI telah menghasilkan pelbagai jenis makanan berasaskan durian seperti snek durian, sos tempoyak dan sebagainya. Namun, inovasi kepada durian dalam bentuk serbuk belum ada dipasaran. Malah, permintaan juga tinggi bagi mereka yang ingin ke luar negara namun masih mahu menikmati makanan mereka ala tradisi melayu seperti tempoyak yang ralatnya kerana masalah bau. Kini, masalah itu dapat diatasi dengan terhasilnya serbuk tempoyak yang mudah disediakan dan senang dibawa ke mana sahaja.
Hasil daya kreatif dan inovatif 5 anak muda tahun 3 Fakulti Sains dan Teknologi (FST) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang terdiri daripada lima orang ahli iaitu Nor Amirah Zulkifli, Siti Noorain Yusoff, Norfasihah Kaanis, Norul Aidah Zakari dan Khairul Muna Abu Bakar menghasilkan tempoyak segera atau diberi nama Tempower. Tempower merupakan serbuk tempoyak yang telah diproses hasil dari pemeraman isi buah durian.
Untuk menghasilkan serbuk tempoyak, tempoyak yang telah diperam, diadunkan bersama agen pengikat iaitu Maltodextrin. Tujuannya adalah untuk mengikat air dan tempoyak agar ianya melekat dan tidak terburai. Kemudian adunan tersebut ditambahkan dengan sedikit Carboxymethlcellulose iaitu agen pemekat yang berperanan untuk memekatkan serbuk tempoyak agar kelihatan seperti tempoyak asli.
Setelah adunan sebati, ratakan di dalam dulang leper dan dimasukkan ke dalam dehidrator untuk proses dehidrasi selama 24 jam. Proses in bertujuan untuk mengeringkan air. Setelah di nyahhidrasi selama 24 jam tempoyak itu akan menjadi kering dan dikisar supaya ianya lebih halus. Serbuk tempoyak yang dihasilkan kemudiannya dibungkus dalam plastik dan diletakkan dalam kotak.
Menurut Khairul Muna Abu Bakar, pelajar tahun 3 Kursus Pembangunan Produk, beberapa penambahbaikan akan dibuat terutama dalam proses pembungkusan dan struktur.
“Penggunaan plastik pembungkus yang lebih baik akan digunakan untuk mengurangkan bau tempoyak sekiranya produk ini dapat dikomersialkan “, katanya.
“Tempoyak segera ini didatangkan dalam dua perisa iaitu perisa asli dan perisa sambal. Kepada mereka yang gemar dengan makanan pedas boleh memilih perisa cili”, kata Khairul Muna lagi.
Proses penyediaan tempoyak segera amatlah mudah dan sesuai sekali untuk wanita yang berkerjaya. Tambahkan tempoyak segera dengan air dan gaulkan hingga sebati dan sedia untuk dimakan. Penggunaan tempoyak segera ini juga boleh dipelbagaikan dalam apa jua masakan contohnya seperti sambal ikan bilis tempoyak, sambal sardin tempoyak dan sebagainya.
Idea untuk menghasilkan Tempower atau tempoyak segera adalah berdasarkan survey dari kawan-kawan dan keluarga. Disamping itu juga mereka menginovasikan tempoyak agar ianya menjadi lebih mudah dalam proses penyediaannya dan mudah dibawa ke mana sahaja serta tidak berbau.
Menurut Norul Aidah Zakari, mereka berharap agar produk ini dapat dipasarkan sekaligus dapat memperkenalkan makanan tradii melayu di peringkat antarabangsa.
“Saya juga berharap agar budaya inovasi ini dapat diterapkan kepada semua pelajar USIM. Sebelum mencipta sesuatu produk mereka seharusnya membuat kajian dan pemerhatian terhadap kehendak dan kemahuan pengguna. Apa yang penting adalah sentiasa membuka minda dan berfikir di luar kotak fikiran untuk maju ke hadapan”, kata beliau lagi.
Oleh :
Siti Maizatul Akmar Ismail
Pembantu Wartawan
Unit Komunikasi Korporat
pwartawan@usim.edu.my
Tel : 06-7988025/8026/8027/8028