NILAI, 8 Okt 2014 – Kemeriahan sambutan Hari Raya Aidiladha masih dirasai seluruh Negara dengan pengisian ibadah korban terutamanya. Mengambil keberkatan serta pada masa meraikan dan menginsafi pengertian sebenar di sebalik ibadah korban, Pusat Islam Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menganjurkan Program Ibadah Korban dan Akikah 1435H pada hari ini.

Sebanyak 5 ekor lembu korban dan 2 ekor untuk akikah disembelih dalam majlis yang bermula kira-kira jam 8.00 pagi dan berakhir jam 11.00 pagi tadi. Pengarah Pusat Islam, Dr Wan Abdul Fatah Wan Ismail mengambil tanggungjawab menyembelih kesemua lembu ini dan seterusnya diikuti dengan aktiviti gotong-royong melapah dan memotong daging.

Program yang diadakan di Dataran Selera, PusatKomersial USIM disertai seramai 60 sukarelawan yang terdiri daripada Pengurusan Universiti, anggota Jabatan Keselamatan, pelajar Sekretariat Pusat Islam dan kakitangan Universiti.

“Alhamdulillah, penyertaan pada tahun ini lebih meriah. Pada tahun lalu, 4 ekor lembu sahaja, manakala tahun ini bertambah kepada 7 ekor lembu.Kita dapat kumpulkan 49 bahagian dengan 40 bahagian untuk korban dan selebihnya untuk akikah. Setiap bahagian,Pusat Islam tetapkan harganya adalah RM 700.00 sahaja. Kesemua peserta (penyumbang) terdiri daripada kakitangan USIM termasuk Naib Canselor, ProfesorDato’ Dr. Musa Ahmad sendiri.”

“Saya melihat pelaksanaan majlis kali ini lebih menarik, tersusun dengan dibantu kerjasama erat semua petugas dan sukarelawan yang terlibat. Daging korban ini kita edarkan kepada tiga pihak iaitu penyumbang, petugas dan paling penting adalah golongan fakir miskin di sekitarNilai, Negeri Sembilan dan Sepang, Selangor.” Ujarnya lagi

Bagi Mohd Saifullah Zulkapli, Penolong Pendaftar di Pejabat Naib Canselor, beliau menyifatkan program ibadah korban sebegini member peluang kepada warga USIM untuk membantu mereka yang memerlukan di sekitar kampus dan mengharapkan sambutan sumbangan ibadah korban ini akan bertambah lagi di masa hadapan.

Kemuncak program adalah jamuan makan tengahhari bersama warga Universiti.Tradisi ini diteruskan saban tahun semasa program ibadah korban diadakan dengan kira-kira 2000 orang hadir menjamu selera. Antara menu yang disediakan secara bergotong-royong ini antaranya sup tulang, gulai kawah, ikan masin dan ulam-ulaman.

Disediakan oleh :

Zaini Othman

PUSAT KOMUNIKASI STRATEGIK (STRACOMM)

Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

71800 Nilai, Negeri Sembilan

Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204