NILAI – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) meneruskan amalan sambutan 1 Syawal dengan meraikan pelajar tempatan dan antarabangsa yang tidak pulang berhari raya ke kampung halaman sempena Hari Raya Aidilfitri.

Seramai lebih kurang 40 pelajar terdiri daripada pelajar tempatan dan antarabangsa tidak pulang menyambut Hari Raya Aidilfitri di kampung halaman mereka pada tahun ini.

Keunikan program sambutan Hari Raya Aidilfitri untuk pelajar tidak pulang berhari raya pada tahun ini adalah program ini disertai oleh Naib Canselor USIM, Profesor Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani.

”Penganjuran program sambutan Hari Raya Aidilfitri membolehkan para pelajar merasai suasana kemeriahan Aidilfitri bersama warga USIM di samping mengeratkan ukhuwah dan menikmati pelbagai juadah enak yang disediakan di Kompleks Islam Tuanku Muhriz (KITM) USIM,” kata Naib Canselor USIM.

Program dimulakan dengan takbir raya disusuli dengan solat sunat Hari Raya Aidilfitri dan diakhiri dengan khutbah Hari Raya Aidilfitri yang disampaikan oleh Dr Muhammad Hafiz Saleh, Pengarah Pusat Islam USIM.

Pelajar kemudiannya dibawa ke Istana Seri Menanti untuk menikmati juadah makan tengah hari di samping dapat beramah mesra dengan penduduk setempat.

Program yang diadakan ini merupakan usaha universiti memupuk keceriaan kepada mereka yang tidak pulang berhari raya bersama keluarga tercinta.

“USIM tidak akan mengabaikan pelajar yang tidak pulang berhari raya dan akan sentiasa menjaga kebajikan mereka demi menzahirkan rasa cinta sesama warga USIM,” tambah beliau.

Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini. Semoga penganjuran program ini dapat menceriakan dan memberi sinar bahagia kepada pelajar tersebut sempena hari lebaran yang mulia.