SEPANG, 5 Julai – Meneruskan tradisi bagi menghargai kecemerlangan pada kakitangannya, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah menganjurkan Majlis Anugerah Kecemerlangan dan Inovasi (AKI) USIM 2012 bertempat di Sama-Sama Hotel, Sepang.

Penganjuran majlis ini menjadi acara kemuncak dalam Minggu Kualiti dan Inovasi USIM 2013 bagi meraikan kakitangan yang telah memberi perkhidmatan cemerlang di samping pengiktirafan terhadap perkhidmatan bermutu tinggi yang diberikan selaras dengan transformasi negara ke arah budaya kerja berprestasi tinggi dan berinovasi.

“Kakitangan USIM telah memberi sumbangan yang besar pada Universiti ini. Justeru itu, saya mencadangkan kepada Pengurusan Universiti supaya jumlah penerima dan ganjaran yang diberikan ini dapat ditambah lagi pada masa hadapan”.

“Ini kerana, pandangan dan harapan masyarakat terhadap USIM adalah tinggi.  Sehubungan itu menjadi tanggungjawab warganya untuk sentiasa berusaha memenuhi harapan ini,”ucap YBhg. Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Prof. Emeritus Tan Sri Dato’ Dr. Abdul Shukor Hj. Husin ketika merasmikan majlis ini.

Sebanyak 15 anugerah dipertandingkan antaranya Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (108 penerima), Anugerah Terpuji (67 penerima), Anugerah Pengajar Cemerlang (9 penerima), Anugerah Penerbitan (9 penerima), Anugerah Penyelidikan (4 penerima), Anugerah Staf Contoh Tahunan (4 penerima), Anugerah Pentadbir Cemerlang (1 penerima), Anugerah Khidmat Masyarakat (1 penerima), Anugerah Inovasi dan Rekacipta (3 penerima) dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Istimewa (3 penerima).

Fakulti Sains & Teknologi (FST) dan Jabatan Perpustakaan mengungguli Anugerah Kualiti Naib Canselor kali ini, manakala Timbalan Dekan  FST, Prof. Madya Dr. Norita Md Norwawi dipilih sebagai Tokoh Hasanul Mudir 2012.  Kesemua penerima menerima hadiah dalam bentuk wang tunai, sijil simpanan premium beserta sijil penghargaan.

Bagi Encik Nasrul Hakim Ahmad, Timbalan Pendaftar Bahagian Hal Ehwal Pelajar selaku salah seorang penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Istimewa, menyifatkan penganugerahan ini sebagai manifestasi, kerjasama dan ukhwah erat sesama kakitangan itu amat penting di dalam sesebuah organisasi kerana ia akan akan membuahkan hasil kerja yang cemerlang.

Mencipta kelainan pada kali ini, penganjuran AKI 2012 yang diurusetiakan secara bersama oleh Pusat Pengurusan Kualiti dan Perancangan Korporat (PPKPK) dan Jabatan Pendaftar turut dihadiri Naib Canselor, YBhg. Prof. Dato’ Dr. Asma Ismail dan Pengurusan Universiti. Julung-julung kali di buat di luar USIM, majlis turut meraikan Mantan Naib Canselor Kedua USIM, YBhg. Prof. Dato’ Dr. Muhamad Muda sebagai penerima Anugerah Sumbangsih.

Disediakan oleh :

Mohd Zaini Othman

Penolong Pendaftar StraComm