PUTRAJAYA, 30 April 2013 – Buat julung kalinya, Penerbit USIM berjaya memenangi Anugerah Buku Terbaik (Kemanusiaan dan Sains Sosial (KSS)) untuk buku bertajuk Yusuf Al-Qaradawi dan Pengaruhnya dalam Masyarakat Islam di Malaysia.

Majlis Anugerah MAPIM 2012 yang diadakan pada 30 April 2013, di Hotel Marriot, Putrajaya merupakan anugerah tahunan berprestij dalam kalangan ahli Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia (MAPIM) yang bertujuan meraikan  mereka yang terbaik dalam penerbitan buku.

Kemenangan ini melayakkan  penulis buku tersebut iaitu Dr. Mohd Rumaizuddin Ghazali, pensyarah Fakulti Kepimpinan & Pengurusan (FKP) memenangi hadiah utama kategori tersebut iaitu wang tunai RM12,000.00, trofi dan sijil.  Penerbit USIM turut menerima RM3,000 berserta dengan sijil dan trofi.  Kejayaan ini menjadi tanda aras yang bermakna kepada Penerbit USIM  kerana berjaya membolosi tempat yang selalu didominasi oleh rakan penerbit dari universiti-universiti lama dan mantap .

Dalam masa yang sama, USIM turut memenangi Kategori Anugerah Buku Terbaik Bukan MAPIM (Kemanusiaan dan Sains Sosial) yang bertajuk  Shahriah Governance in Islamic Banks.  Pengarang buku ini ialah Dr. Zulkifli Hassan, pensyarah Fakulti Syariah dan Undang-undang (FSU).  Buku ini diterbitkan oleh Edinburgh University Press dan pemenang layak membawa balik hadiah utama, iaitu wang tunai  RM12,000, trofi dan sijil.

Majlis gilang-gemilang ini turut dihadiri oleh YBhg. Datuk Ab. Rahim Md Noor, Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi, Dato’ Prof. Dr. Morshidi Sirat Ketua Pengarah, Jabatan Pengajian Tinggi, dan juga Prof. Dato’ Dr. Asma Ismail, Naib Canselor USIM.  Kemenangan julung kali ini turut diraikan oleh ahli-ahli JKPU USIM yang lain seperti Prof. Dr. Musa Bin Ahmad,  Prof. Dato’ Dr. Mohamed Asin Dollah, Prof. Dr. Hajah Mustafa Bin Mohd Hanefah beserta  ahli-ahli JKPU USIM, ahli jawatankuasa penerbitan serta tetamu-tetamu yang lain.

Anugerah yang dianjurkan oleh MAPIM ini merupakan acara tahunan yang diadakan bagi mengiktiraf buku-buku, makalah serta jurnal yang terbaik dalam kategori sains sosial dan juga sains dan teknologi. Penerbit USIM berharap kemenangan ini menjadi dorongan untuk warga penerbit berusaha lebih gigih lagi dalam menghasilkan penerbitan yang berkualiti.

Disediakan oleh;
Hariza Mohd Yusof