NILAI, 17 Mac 2023 – Menghantar bilangan kontinjen terbesar pada tahun ini ke Sukan Asasi Malaysia (SAM) memberi bayangan kesungguhan dan keazaman Pusat Tamhidi Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) untuk mengharumkan nama universiti.

Kontinjen Pusat Tamhidi ke SAM yang memasuki edisi kelima penganjurannya terdiri daripada 118 orang atlet dan 22 pegawai pengiring. Berlangsung di Pusat Asasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Gambang, Pahang dari 17 hingga 19 Mac 2023, Tamhidi USIM menghantar penyertaan untuk bertanding dalam sembilan acara sukan.

Antara acara yang disertai ialah futsal, bola jaring, bola tampar, badmintan, e-sport dan olahraga. Meletakkan sasaran untuk menguasai pungutan pingat dalam acara olahraga, persiapan para atlet Tamhidi dalam semua acara turut mendapat latihan dan bimbingan dari jurulatih khas yang disediakan oleh Pusat Sukan.

Majlis Penyerahan Bendera USIM kepada atlet dan ketua kontinjen ke kejohanan SAM 2023 telah diadakan pada Khamis, 16 Mac bertempat di ruang legar Kompleks Sukan Tunku Najihah. Manakala satu sesi khas ramah mesra dan amanat bersama Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), Profesor Dr Mohd Adnan Yusof turut diaturkan pada Jumaat, 17 Mac sebelum para atlet dan pegawai bertolak ke Gambang.

Dalam amanat Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), beliau merakamkan penghargaan kepada Pusat Tamhidi, Pusat Sukan dan semua pihak yang membantu persiapan atlet ke kejohanan tersebut.

“Disamping memburu kejuaraan dan memberi saingan yang hebat dalam setiap acara, saya ingin titipkan nasihat buat semua atlet untuk turut menonjolkan perilaku dan tauladan yang baik sepanjang di sana, sentiasa menjaga nama universiti” ujar Profesor Dr Mohd Adnan. Selamat maju jaya atlet Tamhidi!

 

sumber: Pusat Tamhidi

Dikemaskini oleh:
Noorumaina Mohamed Yunus
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan