NILAI – Kegigihan seorang graduan dari Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Siti Nabila Ellany binti Mazlan 23 tahun, dari Tumpat, Kelantan, yang tetap hadir ke Majlis Konvokesyen ke-22 walaupun rumahnya dilanda banjir, membuktikan semangat luar biasanya demi memperoleh segulung ijazah Sarjana Muda Komunikasi Media Baharu.

Lima hari sebelum hari konvokesyen, rumah Nabila dilanda banjir teruk. Ketika itu, beliau merasa tiada harapan untuk menghadiri majlis graduasinya. “Hanya ada dua jalan untuk keluar, namun kedua-duanya tidak dapat dilalui kerana paras air sudah tinggi, dan jalan tersebut sudah pecah. Satu-satunya jalan hanya boleh dilalui oleh trak besar,” katanya.

Beliau turut berkongsi cabaran semasa banjir, di mana paras air di rumahnya telah mencapai paras betis. Disebabkan itu, Nabila meluahkan kesedihannya kepada pensyarah programnya, Dr. Kartini, bahawa beliau mungkin tidak dapat hadir ke majlis konvokesyen. “Saya sangat sedih kerana tidak dapat hadir, sedangkan saya telah menunggu detik ini selama bertahun-tahun,” katanya.

“Perasaan sangat menyedihkan apabila saya fikir tidak dapat hadir, kerana setelah berpenat lelah selama empat tahun, termasuk dua tahun belajar dalam talian akibat pandemik, saya benar-benar berharap dapat hadir untuk menerima ijazah saya secara rasmi,” tambahnya.

Dengan izin Allah, dua hari sebelum majlis konvokesyennya, paras air mula surut, memberikan harapan kepada Nabila untuk ke Nilai. Pada mulanya, keluarganya merancang untuk menyewa trak bagi keluar dari kawasan yang masih digenangi air, namun sehari sebelum majlis, air surut sepenuhnya. Ini membolehkan Nabila dan keluarganya menggunakan kereta untuk menghadiri majlis graduasi yang dinanti-nantikan.

“Tahniah kepada kawan kawan saya yang telah berjaya meraih ijazah pada harini, kita semua telah lakukan yang terbaik” ucapannya kepada kawan kawanya yang telah berjaya mendapat segukung ijazah.

Oleh: Aina Farzana Azrul Anuar