Nilai, 28 November 2019 –Majlis Istiadat Konvokesyen Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Kali Ke- 17 bagi tahun ini telah melabuhkan tirai dengan jayanya setelah tiga hari diadakan. Di sebalik majlis ini, terselit beberapa kisah yang menarik dan sudah semestinya memberikan motivasi yang tinggi bagi kita semua dalam tempoh mengikuti pengajian di universiti barakah ini.
Bagi Fakhrul Muhaimin bin Razali, 23, Ijazah Sarjana Muda Da’wah dan Pengurusan Islam mempunyai kisahnya yang tersendiri.
Anak jati Kelantan ini sempat berkongsi ceritanya yang mana beliau sanggup bersusah payah dalam mencari kewangan sendiri untuk menampung pengajian dan juga perbelanjaan seharian semasa tempoh pengajiannya di USIM tanpa mengharapkan bantuan kewangan dari kedua ibu bapa dan adik- beradiknya. “Walaupun saya bukannya datang daripada latar belakang keluarga yang susah, namun saya mencari ikhtiar untuk mencari kewangan dengan segala upaya saya untuk menampung perbelanjaan sendiri semasa di universiti kerana bilangan adik beradiknya yang banyak yang turut bersekolah. Jadi saya perlu bijak untuk mencari pendapatan”, katanya.
Anak keempat daripada lapan adik-beradik ini telah rancang beberapa aktiviti yang boleh menjana pendapatannya sepanjang beliau belajar disini. Dorongan tersebut membawa beliau untuk mula berkecimpung dalam dunia perniagaan melalui kerjanya dalam membuat dan mencetak baju jersi dan lain-lain. Melalui pekerjaannya ini, beliau mampu untuk meningkatkan soft skill dan dapat menyumbangkan sesuatu kepada universiti. Menariknya, beliau mengambil pekerjanya dalam kalangan mahasiswa dan mahasiswi universiti ini.
”Dalam berkecimpung di dalam dunia perniagaan ini, kita boleh membantu orang lain dalam mencari pendapatan mereka sendiri, dan ia juga suatu jalan dakwah”, ujar Muhaimin yang pernah menjadi salah seorang ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) USIM. Beliau turut berkongsi rasa sedih semasa mula pengajian kerana apabila beliau inginkan sesuatu, ibu bapanya tidak mampu untuk memberikan kerana kekangan kewangan, dan ini menjadi batu loncatan kepada beliau untuk mula berdikari demi membantu keluarganya.
Muhaimin juga turut berpesa kepada para mahasiswa dan mahasiswi untuk terus berusaha dan bersemangat dalam menimba ilmu di USIM dan merebut segala peluang dalam meningkatkan kemahiran insaniah (soft skill) dalam pelbagai bidang seperti aktiviti persatuan, dan badan kepimpinan pelajar.
Disediakan oleh:
Mohd Shafwan Eiqhmal Saperdin @Hamzah
StraCommclique
Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah
Dikemaskini oleh:
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan