SEPANG – Kelab Media dan Komunikasi Strategik (StraComm Clique), di bawah seliaan Pusat Komunikasi Strategik (StraComm), Universiti Sains Islam Malaysia (Universiti Sains Islam Malaysia), mencipta sejarah tersendiri apabila secara rasmi diterima sebagai ahli baharu Institute of Public Relations Malaysia Student Association (IPRMSA) dalam satu majlis pengiktirafan yang berlangsung di Kota Warisan, Sepang pada 3 Disember 2025 baru-baru ini.

Penyertaan ini menempatkan USIM sebaris dengan dua institusi pengajian tinggi lain yang turut diterima sebagai ahli terbaharu IPRMSA, iaitu Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Sunway University.

Institute of Public Relations Malaysia (IPRM) merupakan badan profesional nasional yang berperanan mengiktiraf pengamal perhubungan awam, menetapkan piawaian industri serta menyediakan latihan profesional berterusan. Bagi memperkukuh pembangunan bakat dan jaringan industri dalam kalangan mahasiswa, IPRM telah menubuhkan sayap pelajarnya, IPRMSA, pada 4 September 1999 sebagai platform rasmi penglibatan pelajar dalam bidang perhubungan awam di Malaysia.

Pengiktirafan ini membuka ruang baharu kepada StraComm Clique untuk mengakses rangkaian pembangunan profesional termasuk penyertaan dalam bengkel industri, latihan bersama pengamal perhubungan awam, serta peluang kolaborasi strategik di peringkat nasional. Penyertaan USIM dalam IPRMSA turut mencerminkan pengiktirafan industri terhadap keupayaan universiti melahirkan pelajar komunikasi strategik yang berdaya saing, profesional dan relevan dengan keperluan semasa.

Penyertaan rasmi StraComm Clique sebagai ahli IPRMSA dimeterai menerusi pelantikan yang diterima oleh Pengarah StraComm, Prof. Madya Dr. Mohd Faizal Kasmani, Penasihat Kelab, Encik Muhammad Amirul Afif Misran, serta Mantan Presiden Kelab sesi akademik 2024/2025, Muhammad Akmal Zuhdi Che Mohd Zaini.

Komitmen kepimpinan ini menjadi pemangkin utama dalam memastikan pematuhan terhadap keperluan dokumentasi, struktur organisasi serta perancangan aktiviti selaras dengan standard industri yang ditetapkan oleh IPRM.

IPRM turut menyatakan keyakinan bahawa kemasukan ahli baharu seperti USIM, UKM dan Sunway University akan memperkukuh ekosistem pelajar perhubungan awam di Malaysia, di samping menjamin kesinambungan bakat muda yang beretika, berkemahiran tinggi dan bersedia menyumbang kepada landskap komunikasi strategik negara.

Oleh: Eizza Anis Nafiesha Ag Ghani