MARAN, 5 JULAI – Seramai 94 pelajar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang terpilih terus giat berusaha untuk menyebarkan dakwah Islamiyah kepada penduduk di Kampung Orang Asli Sg. Jempul, Maran Pahang menerusi Program Khidmat Dakwah USIM bersama Masyarakat Orang Asli (BAKTI USIM 2013).

Program yang diadakan selama enam hari bermula 29 Julai ini telah memperkenalkan empat modul pengisian seperti Modul Dakwah dan Kepimpinan, Modul Pendidikan Fardhu Ain/ Pembangunan Pendidikan, Modul Kesihatan dan Modul Keusahawanan.

Menurut Pengarah Program, Syed Mahdi bin Syed Nasir, Pelajar Tahun 3, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (FKP), walaupun kami di FKP sering mengadakan program khidmat bakti bersama masyarakat orang asli, namun setiap program pastinya mempunyai pelbagai misi yang tersendiri.

“Kami mengharapkan agar program khidmat masyarakat ini dapat memberi input berguna kepada semua pelajar USIM yang menyertainya agar dapat menilai semula tanggungjawab mereka yang sebenar sebagai mahasiswa untuk berbakti kepada masyarakat yang memerlukan,” katanya penuh harapan.

Selaku Penasihat Program, Prof. Dr. Zulkiple Abd Ghani, Dekan Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (FKP), berkata program sebegini mempunyai pelbagai objektif utama antaranya untuk memahami konsep institusi sosial dan kemasyarakatan Orang Asli dalam konteks kepelbagaian agama dan menguasai manhaj dakwah kepada golongan Orang Asli sama ada yang beragama Islam dan bukan Islam.

“Apa yang lebih penting sekali ialah untuk menyebarkan ajaran Islam kepada masyarakat Orang Asli melalui pendekatan dakwah yang berkesan dan kontemporari,” katanya ketika ditemubual.

Program Khidmat Bakti ini telah dikoordinasikan oleh Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan dengan kerjasama Sekretariat Pendakwah Muda Malaysia USIM (SPMM) dan Persatuan Mahasiswa Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (PMFKP), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Majlis Agama Islam Pahang (MUIP), Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) dan Pejabat Agama Islam Daerah Maran (PAID Maran).

Program ini telah dirasmikan oleh Adun Kuala Sentul iaitu Yang Berhormat Dato Shahaniza Shamsuddin dan turut dihadiri oleh Yang Berbahagia Prof. Dr. Hajah Mustafa Mohd Hanefah, Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi USIM mewakili Yang Berbahagia Prof Dato’ Dr. Asma Ismail, Naib Canselor USIM.

Disediakan oleh :

Fauziah Hassan
Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan

Dikemaskini : StraComm