Profesor Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani, 51 tahun, secara rasminya memulakan tugas sebagai Naib Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang keenam pada 1 Julai 2022 menggantikan Profesor Dato’ Dr. Mohamed Ridza Wahiddin yang telah tamat lantikan pada 9 Mei 2022.

Berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains Makanan dengan Pemakanan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (1995), Ijazah Sarjana Sains dari University of Reading (1997), beliau seterusnya memperoleh Ijazah Doktor Falsafah dari University of Cambridge pada tahun 2007 dalam bidang Teknologi Makanan.

Aktif dalam bidang penyelidikan dan penerbitan dengan menghasilkan jurnal-jurnal berimpak tinggi, beliau turut aktif dalam aktiviti konsultansi dalam bidang industri halal dan telah banyak terlibat dengan projek-projek industri halal di peringkat antarabangsa. Ikuti temu bual bersama beliau:

Q1 Hari pertama menjalankan tugas, slogan “USIM Cemerlang, USIM Disayang” diperkenalkan. Boleh Prof. terangkan serba sedikit mengenai slogan ini?

Dari aspek kecemerlangan, saya melihat USIM sebagai sebuah Universiti Awam (UA) yang mempunyai potensi untuk berkembang maju kerana mempunyai ramai pakar dalam bidang masing-masing yang diiktiraf di dalam dan di luar negara. Ramai pakar akademik di USIM yang telah dilantik untuk memegang pelbagai jawatan penting di peringkat negeri dan negara. Ada yang dilantik sebagai pihak pengurusan di jabatan kerajaan persekutuan, Panel Penasihat Akademik, Anggota Majlis Agama Islam Negeri, Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri, Penasihat Syariah di agensi terkemuka nasional dan pelbagai afiliasi lain.

Justeru, adalah penting untuk kita menggerakkan pakar-pakar ini dalam satu nada yang sama yang matlamatnya adalah untuk mengangkat dan memposisikan USIM sebagai salah sebuah universiti yang terbaik dan cemerlang di Malaysia.

USIM harus memanfaatkan kepakaran yang dimiliki dengan merangka strategi bagi meningkatkan keterlihatan (visibility) USIM di mata masyarakat khususnya bagi membantu ke arah mensejahterakan rakyat dengan menyumbang kepakaran dan pengetahuan yang dimiliki (knowledge transfer). Cemerlang bukan sahaja secara individu, tetapi secara holistik.

Manakala bagi tagline USIM disayang pula, saya mengharapkan setiap staf USIM akan menyayangi USIM dan menganggap USIM sebagai hak milik bersama dan berusaha memberi komitmen yang terbaik, selaras dengan penerapan lima teras profesional yang digariskan iaitu Profesional, Efisyen, Alamiyyah, Amanah dan Muafakat yang sewajarnya menjadi asas kepada keperibadian sebagai staf USIM. Ini termasuklah penglibatan USIM bersama masyarat dan komuniti di luar. Setiap kebaikan yang disalurkan kepada masyarat sudah pastinya memberi impak dan kesan positif terutamanya dalam menjayakan agenda memasyarakatkan USIM.

Q2 Pandangan pertama Prof terhadap USIM

Ketika mula berkhidmat di USIM, saya merasakan USIM as good as other Universiti Awam yang lain. Potensi itu ada, kita perlu bekerja keras memastikan keterlihatan (visibility) USIM di luar sana, dalam usaha untuk menjadikan universiti ini sebagai universiti pilihan (preferred) dan rujukan (referred).

Q3 Fokus utama serta misi dan visi yang akan dibawa sepanjang tempoh 3 tahun prof sebagai Naib Canselor?

Apabila memperkatakan tentang misi dan visi sebagai Naib Canselor, sudah pastinya tidak akan lari daripada aspirasi dan asas penubuhan sesebuah universiti. Saya juga tidak terkecuali memasang hasrat untuk mengarus perdanakan pelajar-pelajar aliran agama dalam mengintegrasikan ilmu Naqli dan Aqli. Beberapa fokus yang akan diberi penekanan antaranya:

  •  Keterlihatan (visibility) USIM

Keperluan untuk menghubungkan tenaga pakar di USIM dengan agensi-agensi penting dan diiktiraf. Ini bagi memastikan keupayaan dan sumbangan USIM dalam menangani isu-isu semasa negara dan seterusnya memberikan solusi kepada isu-isu tersebut demi kemaslahatan rakyat Malaysia.

  • Kampus Pesisir @ Program Pesisir

Pewujudan kampus dan pelaksanaan program pesisir sebagai langkah untuk melestarikan kewangan USIM, dengan mengenal pasti program pengajian yang berpotensi untuk dipasarkan ke luar negara dan juga sebagai satu usaha bagi meningkatkan jumlah enrolmen pelajar antarabangsa selaras sasaran Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk mencapai 250 ribu pelajar antarabangsa menjelang tahun 2025 .

Selain itu, kampus atau program pesisir ini menjadi salah satu platform untuk memberi peluang kepada semua lapisan staf USIM untuk menjalani latihan sangkutan di premis-premis pesisir dengan sasaran lokasi awal yang dicadangkan iaitu di London dan Istanbul.

  • Menempatkan kedudukan USIM dalam kalangan 2000 IPT terbaik menerusi beberapa sistem penarafan antarabangsa.

Q4 Idola dan rujukan dalam bidang halal?

Idola dan pakar rujuk dalam bidang halal yang saya hormati adalah Allahyarham Prof Datuk Dr Yaakob Che Man. Beliau merupakan Saintis Halal pertama dunia dan juga pengasas Pengasas Institut Penyelidikan Produk Halal (IPPH), Universiti Putra Malaysia (UPM). Sumbangan yang ditinggalkan oleh beliau amat signifikan kepada kemajuan industri halal di negara ini. Dunia memandang dan menghormati Malaysia kerana standard halal yang sistematik dan realistik.

Harapan kepada USIM

Saya ingin mengajak warga USIM untuk bersama-sama melaksanakan usaha bagi merealisasikan agenda pendidikan tinggi negara dan seterusnya menjadikan USIM sebagai salah satu institusi yang boleh dijadikan sebagai penanda aras dalam usaha mewujudkan sistem pendidikan yang berteraskan nilai-nilai murni.