NILAI, 18 Feb 2014 – Sekretariat Fakulti Sains dan Teknologi (SEKREFAST), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) bakal menganjurkan buat julung-julung kalinya, Islamic Festival of Science and Technology (i-FEST) 2014 bertempat di Tapak Pusat Kemudahan Pelajar USIM bermula 24 Februari hingga 1 Mac 2014 ini.

Penganjuran Festival yang bertemakan ‘Legacy of Golden Age’ ini bertujuan untuk memaparkan perkembangan dan penemuan berkaitan sains dan teknologi  yang seiring dengan Islam serta pada masa sama menonjolkan zaman kegemilangan cendiakawan Islam dalam penguasaan ilmu dan teknologi pada masa lalu seperti dalam bidang astronomi, matematik, perubatan dan lain-lain lagi.

Membawa konsep pameran, seminar, keusahawanan dan interaktif, pelbagai pengisian menarik disediakan untuk para pengunjung sertai antaranya Karnival Sains Teknologi Islam ; Konsert Amal ‘Stairway to Heaven’ bersama beberapa artis terkenal seperti Fitri Haris UNIC, Syam Kamikaze dan Priakustik ; Young Daie Award bersama Pencetus Ummah (PU) Rahmat ; Bicara Mahasiswa Cakna; Bicara Usahawan Kampus ; Hari Siswi dan Minggu Keusahawanan. Selain itu, para pengunjung turut dapat merasai peluang melakukan uji kaji sains sendiri di bawah selian pelajar Fakulti Sains dan Teknologi.

Beberapa badan dan institusi luar turut terlibat dalam memeriahkan pengisian sepanjang Festival ini berlangsung seperti Petrosains, Muzium Tuanku Fauziah Universiti Sains Malaysia (USM), Persatuan Sains Muslim Malaysia (PERINTIS) dan Seni Khat Warisan Kita di bawah Yayasan RESTU.

Program Festival ini juga merupakan salah satu pengisian sempena Sambutan 10 Tahun Fakulti Sains dan Teknologi USIM yang telah dilancarkan baru-baru ini oleh YBhg. Prof. Emeritus Tan Sri Dato’ Dr. Abdul Shukor Hj Husin, Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti.

Pihak Jawatankuasa Penganjur i-FEST berbesar hati menjemput masyarakat sekitar, agensi kerajaan dan swasta, pertubuhan bukan kerajaan, sekolah dan institusi pendidikan untuk hadir dan menyertai pelbagai program yang disediakan. Maklumat lanjut boleh menghubungi Saudari Riza Asma’a Saari di talian 019-9191950.

Disediakan oleh

Mohd Zaini Othman

Penolong Pendaftar StraComm