NILAI, 25 APRIL 2015 – Sukan Antara Fakulti (SUFA) 2015 Universiyi Sains Islam Malaysia (USIM) yang memasuki edisi ke-14  dianjurkan oleh Pusat Sukan USIM melabuhkan tirainya pada Sabtu lalu setelah membuka gelanggang rasmi pada 4 April.

Temasya tahunan ini disertai oleh lapan buah Fakulti di USIM antaranya Fakulti Syariah dan Undang-undang, Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Fakulti Pengjian Quran dan Sunah, Fakulti Pergigian dan Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan.

Pertandingan yang diadakan di Kompleks Sukan Tunku Najihah mempertandingkan13 acara utama seperti Bola Sepak, Bola Jaring, Bola Tampar, Sepak Takraw, Futsal, Tenis, Lawn Bowl, Ping Pong, Badminton, Memanah, Bola Baling, Catur dan Olahraga.

Kehebatan para atlit Fakulti Sains dan Teknologi (FST) ternyata sukar digugat apabila menunjukkan penguasaan dalam acara balapan seperti 100m, 200m, 800m, 4x100m dan 4x400m dengan membolot lapan pingat emas daripada 12 pingat emas yang dipertandingkan.

Kejayaan ini memperkukuhkan kedudukan pingat dan kiraan mata FST ditangga teratas apabila SUFA bermula dengan pencapaian keseluruhan 13 emas, 2 perak dan 6 gangsa. Kejuaraan di SUFA kali ini merupakan kejuaraan untuk tahun ketiga berturut-turut sekaligus mencipta kemenangan hatrik.

Fakulti lain juga turut memberikan saingan sengit kepada FST adalah kontinjen Fakulti Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan  dengan 6 emas, 7 perak dan 4 gangsa diikuti Pengajian Bahasa Utama mendapat 3 emas, 10 perak dan 5 gangsa.

Menurut Nor Amin Jamaluddin, Exco Sukan dan Pembangunan Belia MPP USIM, sokongan warga kampus kepada SUFA amat baik dan ini menyemarakkan kemeriahan para penyokong di setiap venue pertandingan.

“Perkembangan sukan semakin baik di USIM dan ditambah dengan penganjuran SUFA kali ini, banyak bakat baru mula menyerlah. Saya berharap bakat yang dicungkil menerusi acara yang dipertandingkan pada SUFA 2015 dapat diketengahkan untuk mewakili USIM dalam kejohanan MASUM yang bakal berlangsung pada bulan Ogos 2015”.

“Setelah pelbagai program sukan peringkat dalaman dilakukan, kini tiba masanya kita memfokuskan kejohanan peringkat kebangsaan bagi membuktikan atlet USIM bukan calang-calang demi memburu lebih banyak kutipan pingat dalam kejohanan kompetitif ” ujar Amin.

Majlis perasmian penutup disempurnakan oleh Pengarah Pusat Sukan USIM, Encik Hamran Husin Naib Canselor. Para pemenang bagi setiap acara masing-masing menerima hadiah berupa piala, pingat dan hamper.

Disediakan oleh:

Exco Sukan dan Pembangunan Belia MPP USIM

Dikemaskini oleh:

Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)