NILAI, 2 Dis – Warga Fakulti Sains dan Teknologi (FST) meraikan 10 tahun penubuhan Fakulti ini di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dengan penganjuran program “Sambutan 10 Tahun Fakulti Sains dan Teknologi” bertemakan Accelerate Excellence Through Innovation.

Fakulti telah mula beroperasi pada 1 Disember 2003 dengan kemasukan seramai 43 orang pelajar pertama secara rasmi pada sesi akademik 2004/2005 melalui program sulungnya, Ijazah Sarjana Muda Sains dengan Kepujian (Bioteknologi Makanan).

Justeru itu, bagi meraikan sedekad penubuhan FST, pihak Fakulti dengan sokongan Pengurusan Universiti telah mengambil inisiatif menganjurkan pelbagai program menarik bagi tujuan ini bersama para pelajar, pensyarah dan para alumninya.

Antara pengisian utama yang membuka tirai sambutan 10 tahun adalah penganjuran program Sireh Pulang Ke Gagang Alumni FST (SPRINGFAST) pada 1 Disember 2013 yang bertujuan untuk menghimpunkan kembali para alumni FST. Antara pengisian yang diatur oleh Jawatankuasa Penganjur untuk para alumni adalah Mesyuarat Agong Alumni FST, Majlis Sambutan 10 FST bersama Alumni dan Dialog Ikon Alumni FST bersama pelajar. Pada sebelah petangnya pula diadakan Pertandingan Bowling Persahabatan Alumni bersama Pensyarah.

Kemuncak sambutan 10 Tahun FST adalah Majlis Perasmian Sambutan 10 Tahun Fakulti Sains dan Teknologi pada 2 Disember bertempat di Dewan Kuliah Fakulti yang dihadiri oleh para pensyarah dan pelajar.

“FST berjaya menonjolkan keistimewaannya melalui pelaksanaan program-program akademik yang unik iaitu menintegrasikan ilmu Naqli dan Aqli untuk dihayati oleh para pelajarnya. Walaupun menjadikan Sains sebagai asas, tetapi ia turut di adun bersama ilmu-ilmu Islam yang akhirnya memotretkan elemen Sains Islam secara jelas kepada masyarakat,” kata Prof. Emeritus Tan Sri Dato’ Dr. Abdul Shukor Hj Husin, Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti dalam ucapan perasmiannya.

Menurutnya lagi, kemampuan FST untuk menawarkan pelbagai pilihan program akademik iaitu 8 buah program kini, yang tertinggi dikalangan fakulti di USIM adalah amat baik. Antara program yang ditawarkan kini adalah Sains Aktuari & Pengurusan Risiko, Sains Komputer (Keselamatan & Jaminan Maklumat), Matematik Kewangan, Fizik Gunaan, Teknologi Kimia Industri, Seni Bina dan terkini Kejuruteraan Elektronik.

FST turut berjaya menyediakan tenaga pensyarah muda aktif yang mempunyai Ijazah Doktor Falsafah (PhD) sebanyak 80 peratus, melangkaui sasaran Universiti iaitu 60 peratus. Pada majlis sama, turut dilancarkan Buletin Khas FST 10 Tahun, Tayangan Video 10 Tahun FST, Penyampaian Anugerah kepada Staf Terawal (Pentadbiran dan Akademik) serta Anugerah Sumbangsih.

Turut hadir ke majlis ini adalah YBhg. Prof. Dato’ Dr. Asma Ismail, Naib Canselor USIM, Prof. Dato’ Dr. Musa Ahmad, Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa) USIM, Prof. Dr. Bchok M. Taib, Dekan FST dan Prof. Emeritus Dr. Jalani Sukaimi, Mantan Dekan FST. Para tetamu turut di bawa melawat ruang pameran di foyer fakulti selepas majlis berakhir.

Disediakan oleh :

Mohd Zaini Othman

Penolong Pendaftar StraComm