NILAI, 22 DIS 2015 – Perpustakaan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menjadi perpustakaan Universiti Awam pertama dan kelima di dalam negara yang mengambil inisiatif mewujudkan perpustakaan mini ’Little Free Library’ secara rasmi (berdaftar) dengan Little Free Library Organization (LFL) yang berpusat di Hudson, New York.

LFL yang ditubuhkan pada Mei 2015  yang diasaskan oleh Todd H. Bol dan Rick Brooks merupakan sebuah organisasi tidak berasaskan keuntungan yang mempunyai misi keusahawanan sosial kepada menyediakan akses buku oleh orang awam secara percuma melalui konsep ”Take a Book, Return a Book”.

LFL USIM dengan nombor pendaftaran (charter number) #31743, boleh memuatkan sekitar 50 buah bahan bacaan dalam satu-satu masa. Penubuhannya turut mendapat galakan Naib Canselor USIM, Profesor Dato’ Dr. Musa Ahmad.

Perpustakaan USIM menempatkan 10 buah kotak kecil LFL USIM yang dibina berbentuk rumah minangkabau di sekitar kampus khususnya di kawasan tumpuan utama warga kampus seperti Canselori, perpustakaan, kolej kediaman dan perhentian bas. Sebanyak empat unit LFL USIM telah siap dipasang baru-baru ini dan bakinya akan dipasang secara berperingkat-peringkat.

Objektif LFL diwujudkan oleh USIM adalah untuk membudayakan amalan membaca (Iqra’) dalam kehidupan harian warga universiti selari dengan slogan USIM iaitu ’Peneraju Integrasi Ilmu Naqli dan Aqli’. Selain itu, ia juga akan melibatkan warga universiti dalam khidmat komuniti kerana pengurusan LFL sendiri adalah  berbentuk sukarelawan.

Keurusetiaan LFL USIM kini diletakkan di bawah Jabatan Perpustakaan (Pejabat Timbalan Ketua Pustakawan Kanan) dan Sekretariat Sahabat Kembara Ilmu (SKIL) dengan dibantu 47 orang sukarelawan terdiri daripada kakitangan dan mahasiswa USIM. Lebih 1100 bahan bacaan hasil sumbangan warga kampus dan masyarakat luar telah diterima oleh LFL USIM setakat ini dalam bentuk buku, majalah dan jurnal.

Penubuhan LFL USIM ternyata menarik perhatian kerana konsep yang dilaksanakan amat mesra pengguna iaitu ambil sebuah buku dan tinggalkan sebuah buku (sumbangan), tiada pendaftaran dan yuran keahlian, tiada tarikh pulang dan denda lewat pemulangan, dibuka 24 jam sehari dan tujuh hari seminggu serta perpustakaan mini ini milik semua orang.

Konsep perlaksanaan  LFL yang mudah, murah dan boleh dilaksanakan oleh sesiapa sahaja ini diharapkan terus berkembang dan LFL USIM ini menjadi contoh bagaimana usaha kecil yang boleh memberi impak yang besar dalam menyemarakkan dunia pembacaan dalam kalangan masyarakat setempat.

Menurut laman rasmi LFL (http://littlefreelibrary.org/), sehingga September 2015, terdapat lebih 32,000 LFL telah dibangunkan di 70 buah negara termasuk Malaysia.

Disediakan oleh:

Zaini Othman
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan

Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204