NILAI, 14 Disember 2019 – Pasukan Gap Year 3.0 Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) bersama Yayasan Dana Kebajikan Muslim Malaysia (YDKMM) dengan penglibatan seramai 120 Mahasiswa yang terdiri daripada 80 Orang mahasiswa USIM dan 40 Orang mahasiswa UPSI yang digelar sebagai Youth Of Strength & Happiness (YOSH) bersama YDKMM Rescue : Action For Disaster (A4D) telah berjaya melaksanakan Program Feed The Homeless 2.0 di sekitar Masjid Jamek, Chow Kit dan Central Market Kuala Lumpur .
Program ini bukan hanya aktiviti memberi makanan sahaja kerana sudah terlalu ramai NGO yang datang untuk memberi makan kepada mereka terutamanya pada hari minggu. Namun, kali ini sukarelawan ini dibahagikan kepada beberapa kumpulan iaitu Geng Plastik Hitam, Geng Ngaji, Geng Santun, Geng Jambatan, Geng Data.
Geng plastik Hitam akan menjalankan tugas untuk mengutip sampah-sampah di kawasan sekitar, manakala geng ngaji pula akan mengajar ngaji, matematik, mewarna, adab bersama orang tua serta kepentingan menjaga kebersihan diri kepada kanak-kanak yang berumur anggaran 3 hingga 6 tahun. Selain itu, Geng santun pula akan menyapa dan bertegur bagi mendengar cerita kehidupan gelandangan ini dan Geng Jambatan pula akan pergi di kawasan jambatan yang terdapat ramai golongan LGBT untuk meninjau dan memberi nasihat namun kebiasaannya golongan ini tiada semasa kunjungan sukarelawan ini ke sana.
”Segelintir masyarakat masih ada yang belum cukup dengan kemewahan yang mereka perolehi di bandar Kuala Lumpur ini. Ada yang masih merasakan diri mereka serba kekurangan kerana mereka sering membandingkan diri mereka dengan kemewahan orang lain. Tanpa mereka sedari, lebih ramai orang yang jauh lebih susah dari mereka tanpa memiliki sedikitpun kemewahan. Bahkan, golongan seperti ini tidak pernah merasakan bahawa terdapat lebih ramai orang yang memerlukan di luar sana”.
“Aktiviti FTH ini memberi semua nilai positif dalam membangun masyarakat gelandangan serta mengajar kita erti bersyukur dalam kehidupan seharian kita. Hasrat yang ingin saya sampaikan sebagai mahasiswa supaya golongan gelandangan ini dapat diberi perlindungan dan perhatian yang lebih demi mengurangkan kadar gelandangan di Malaysia”, berkata Ahmad Bin Abdul Wahab yang merupakan seorang sukarelawan dari Fakulti Pengajian Quran & Sunnah USIM.
Manakala bagi Muhammad Aminuddin Bin Adnan dari peserta Gap Year 3.0 USIM pula, dengan menyertai program ini, beliau dapat menyelami kisah kehidupan sebagai pemuda jalanan@gelandangan. Penceritaan yang disampaikan bukan kosong semata, malah dalam penceritaan mereka itu mempunyai isi tersirat dan menasihati pelajar@mahasiswa supaya menanam sifat sentiasa bersyukur.
“Sebenarnya sekadar memberi makanan sahaja, itu belum cukup lagi buat mereka. Tugas kita pada orang gelandangan ini bukan hanya setakat memberi makanan , apa yang kita perlu buat adalah mendekatkan diri kita dengan mereka, mendengar masalah dan cuba untuk bantu dan menasihati setakat mana yang termampu”, tambah Muhammad Khairil Ikhwan Bin Yahaya, mahasiswa Da’wah dan Pengurusan Islam.
Program ‘Feed The Homeless’ diharap dapat membawa lebih ramai lagi sukarelawan dari seluruh IPT dalam memupuk sifat kemanusiaan dalam diri masing masing dan semangat jati diri serta sentiasa bersikap siap siaga untuk bersepan dengan segala cabaran yang mendatang.
Disediakan oleh:
Muhammad Aminuddin Bin Adnan
Gap Year 3.0 USIM
Dikemaskini oleh:
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan