NILAI, 26 November 2021 – Ahmad Zahiruddin Zailani, 25, meskipun dilahirkan sebagai anak istimewa yang mengalami masalah autisme, beliau berjaya memperoleh Ijazah Sarjana Muda Pengajian Quran dengan  Multimedia Dengan Kepujian, yang merupakan bidang pengajian yang diminatinya.

Anak sulung dari lima beradik merupakan anak kepada pasangan Zailani Ahmad dan Hanes Mohd Nasir, bercita-cita menjadi pakar teknologi dalam bidang agama bagi golongan berkeperluan khas.

Bapa dan ibunya yang bekerja sebagai Ketua Jabatan Permodalan di Risda Berhad dan Guru di SMK Engku Husin Semenyih menjadi tulang belakang yang sentiasa menyokong  dan memberi semangat kepada Zahiruddin sehingga beliau berjaya sehingga ke hari ini.

“Ketika pandemik COVID-19 dan kami jalani pembelajaran dan pengajaran secara dalam talian, saya melihat tenaga pengajar banyak menggunakan lisan berbanding menggunakan bahan mengajar seperti video dan slide. Ketika menjalani latihan industri di Ummi Maktum USIM, saya tekad dan berjaya menghasilkan lebih 40 video live streaming bagi membantu dalam subjek Syariah dan Usuluddin”, ujar Zahiruddin yang mendapat Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.20.

Walaupun Zahiruddin dilihat sebagai pelajar berkeperluan khas, beliau berjaya menghafaz 30 juzuk Al Quran ketika dalam pengajian di peringkat Diploma  lagi. Semasa menyambung pengajian di peringkat Sarjana Muda di USIM, Zahiruddin lebih suka menghabiskan masa mengulangkaji  pelajaran dan ‘mentasmik’ bacaan quran di Masjid USIM.

Zahiruddin juga merancang dan  berhasrat untuk menyambung pengajian dalam peringkat Sarjana dalam bidang Pendidikan Khas pada tahun hadapan.

Disediakan oleh:
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan