NILAI – Dua graduan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nur Shuhaddah Umar, 24, dan Muhammad Aizat Mat Nazan, 25, telah membuktikan bahawa pengurusan masa yang cekap serta semangat juang mampu menghasilkan kejayaan gemilang walaupun berdepan cabaran besar sebagai ahli Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES).

Kedua-duanya, graduan Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (FKP), bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik dengan memperoleh Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Media Baharu dan Ijazah Sarjana Muda Komunikasi, tetapi turut berjaya dalam ketenteraan dengan menerima tauliah sebagai Leftenan Muda PALAPES. Mereka ialah antara 410 graduan FKP yang diraikan pada sidang ketiga Majlis Konvokesyen ke-22 USIM.

Bagi Nur Shuhaddah atau mesra dipanggil Shuma, minat terhadap dunia ketenteraan telah lama berputik sejak kecil. Melalui latihan PALAPES, beliau belajar mengurus masa dengan baik, menjadi lebih berdisiplin, dan membina keyakinan diri.

“Latihan PALAPES bukan sahaja mencabar fizikal, tetapi juga mental. Saya belajar bahawa tiada perkara yang mustahil jika kita berusaha dan yakin pada diri sendiri,” katanya.

Menariknya, Shuma turut membuat kerja sambilan untuk menampung perbelanjaan pengajian tanpa bergantung kepada pinjaman kewangan. Malah, ketika menjalani latihan industri di Sarawak, beliau sanggup berulang-alik ke Nilai setiap minggu untuk memenuhi komitmen PALAPES.

Bagi Aizat, anak kelahiran Paroi, Negeri Sembilan, PALAPES adalah impian sejak kecil yang terinspirasi daripada minat bapanya terhadap filem-filem perang. Walaupun berdepan kekangan kewangan sepanjang pengajian, beliau tetap tabah dan berjaya menguruskan perbelanjaannya dengan bijak menggunakan elaun PALAPES.

“Saya belajar mengikat perut dan fokus pada keperluan utama. Tiada yang lebih bermakna daripada melihat usaha keras kita akhirnya membuahkan hasil,” kata Aizat.

Kejayaan Shuma dan Aizat menjadi inspirasi kepada pelajar lain, membuktikan bahawa semangat juang yang tinggi mampu mengatasi apa sahaja cabaran.

“PALAPES telah mendidik kami untuk menamatkan setiap perkara yang dimulakan. Sikap ini menjadi tunjang kejayaan kami hari ini,” tambah Aizat.

Dengan pencapaian luar biasa mereka, Shuma dan Aizat bukan sahaja mengharumkan nama USIM, tetapi turut memberi contoh bahawa disiplin dan ketekunan mampu membawa kejayaan dalam apa jua bidang yang diceburi.

 

Oleh: Siti Nurafiqah Azwan