NILAI – Mengendalikan sebuah butik pakaian muslimah sendiri sambil belajar bukanlah satu hal yang mudah bagi Nur Iman Tasnim Mohd Shaipudin, 23, graduan Sunnah Pengurusan Maklumat Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah yang menerima skrol sempena Majlis Konvokesyen ke-22 USIM baru-baru ini.

Iman Tasnim yang merupakan anak ketiga daripada lima beradik berjaya membuktikan bahawa pelajar daripada Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah mampu berjaya dengan cemerlang dalam bidang keusahawanan apabila beliau mendapat tempat kedua dalam Anugerah Perusahaan Pelajar Terbaik dalam Majlis Anugerah Keusahawanan Kementerian Pendidikan Tinggi 2023 (AKKPT).

Tasnim merupakan pemilik butik pakaian muslimah, Hawradeen. Beliau menjelaskan bahawa beliau mula menjalankan bisnes semasa pandemik COVID-19 pada Disember 2022 dengan berbekalkan RM500.00 sahaja dan kini hasil jualan beliau boleh mencecah sehingga RM200,000.00 sebulan.

“Saya dan suami berkahwin muda iaitu pada tahun 2022 juga, jadi kami mula menjalankan bisnes semasa pandemik COVID-19 untuk menjana pendapatan,” katanya.

Tasnim ketika ditemubual berkata, perkara yang paling mencabar adalah semasa pandemik COVID-19 kerana pembelajaran dalam talian menyukarkannya untuk memahami sesuatu pembelajaran itu.

“Keadaan tersebut menyebabkan saya sukar memahami sesuatu subjek pembelajaran semasa pembelajaran bersemuka dijalankan.

“Pengurusan masa yang teratur juga merupakan salah satu perkara yang mencabar sepanjang saya belajar sambil bekerja. Saya perlu uruskan suami, menjaga anak buah dan menyiapkan tugasan. Saya juga mempunyai masa yang terhad untuk meluangkan waktu bersama rakan-rakan.” katanya ketika ditemubual.

Tasnim menyatakan rasa syukurnya kerana dorongan suami dan keluarga menjadikannya kuat dan tetap cekal meneruskan perniagaan sambil belajar walaupun tugas tersebut bukanlah suatu perkara yang mudah.

Beliau juga merancang untuk memperluaskan perniagaannya ke Singapura, Indonesia dan Brunei dan berharap bahawa Hawradeen akan berkembang maju seperti butik muslimah yang lain.

 

Oleh: Nur Khadijah Antasha Abd Rashid