DENGKIL – Paya Indah Wetlands, Selangor menjadi saksi kepada semangat kesukarelawan yang luar biasa apabila lebih daripada ratusan sukarelawan belia berkumpul untuk menyertai Sambutan Hari Kesukarelawan Belia Malaysia (HKBM) 2024 pada 7 Disember 2024 yang dirasmikan oleh YB Tuan Adam Adli Abd Halim, Timbalan Menteri Belia dan Sukan. Tidak melepaskan peluang ini, Sekretariat Rakan Muda (SRM) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menghantar seramai 110 peserta menjadikan mereka institusi yang menghantar paling ramai sukarelawan.

Acara ini bukan sekadar platform untuk menjalankan aktiviti sukarelawan tetapi juga menjadi tempat pertemuan pelbagai latar belakang belia yang bersama-sama berganding bahu demi membina masyarakat yang lebih baik.

Program dimulakan dengan sesi taklimat dan regangan, memberikan peserta peluang untuk memahami tugas masing-masing sebelum acara utama berlangsung. Selepas itu, acara flag-off menyaksikan kumpulan sukarelawan seperti Rakan Aktif, Rakan Bumi, dan Rakan Prihatin bergerak ke lokasi tugasan masing-masing di sekitar kawasan Paya Indah Wetlands. Tugasan mereka meliputi aktiviti pemuliharaan alam sekitar, pembersihan kawasan, dan pelbagai inisiatif yang memberi manfaat kepada komuniti setempat.

YB Tuan Adam Adli Abd Halim menyatakan rasa bangga dan teruja dengan sambutan HKBM 2024 dan berharap agar aktiviti kesukarelawan seperti ini diperbanyakkan dan disebarluaskan supaya dapat menarik ramai lagi peserta untuk turut sama membantu melestarikan negara.

Sementara itu, Nazihah Shaarani, 20, salah seorang peserta menyatakan perasaan gembira dapat menyertai HKBM kerana dapat sama-sama membersih dan mencantikkan kawasan zoo serta dapat menambah kenalan dari institusi lain. Tambahnya lagi, beliau berharap agar aktiviti kesukarelawanan diperbanyakkan supaya dapat memberi impak yang positif kepada masyarakat dan negara.

Sambutan turut dimeriahkan dengan gimik penanaman anak pokok dan pelepasan anak – anak ikan dalam sungai serta sesi memberi makan kepada buaya.

Para peserta bukan sahaja pulang dengan pengalaman yang tidak ternilai tetapi juga dengan semangat baru untuk terus menyumbang kepada masyarakat. “Saya berharap acara ini akan diteruskan setiap tahun kerana ia benar-benar memberi makna kepada hidup kami sebagai belia dan ahli SRM terutamanya SRM USIM,” kata Muhammad Mustaqim Zachury, Presiden Sekretariat Rakan Muda USIM.

Ujarnya lagi, HKBM 2024 berjaya membuktikan bahawa semangat kesukarelawan masih kuat dalam kalangan belia Malaysia. Acara seperti ini bukan sahaja menyatukan generasi muda tetapi juga mengingatkan kita semua tentang nilai sebenar membantu sesama manusia.

Acara ini turut dihadiri oleh Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan dan Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan.

 

 

Oleh: Muhammad Akmal Zuhdi Bin Che Mohd Zaini