NILAI 8 Mac- Hujan renyai yang membasahi bumi Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) tidak mematahkan semangat kira-kira 3000 warga USIM untuk turut serta dalam perarakan sempena Sambutan Maulidur Rasul peringkat Universiti yang bermula di Stadium Tunku Najihah menuju ke Stadium Tertutup Nilai seawal jam 8 pagi, semalam.

Sebanyak 22 kontinjen yang terdiri daripada kakitangan dan mahasiswa USIM, bersatu padu dalam memeriahkan perarakan dengan membawa sepanduk masing-masing di samping mengenakan pakaian yang seragam bertepatan dengan tema Maal Hijrah 1433 iaitu “Persefahaman Asas Perpaduan Ummah”.

Acara dimulakan dengan bacaan al-Quran yang disampaikan oleh saudara Mohamad Husaini Mahmur, Mahasiswa Fakulti Pengajian Bahasa Utama (FPBU) yang juga merupakan ahli kumpulan tarannum, Unit Kesenian Pelajar (UKP).

Semua yang hadir dihiburkan oleh kumpulan nasyid Intraksee, kumpulan marhaban dan berzanji serta persembahan sketsa oleh kumpulan teater Akademi Teater Rupawan Asli (ATRA) dari Urusetia Kesenian Pelajar Unit Kebudayaan Bahagian Hal Ehwal Pelajar USIM.

Menurut amanat yang disampaikan oleh Y.Bhg. Profesor Dato’ Dr.Mohamed Asin Dollah, Timbalan Naib Canselor HEPA USIM, beliau menyeru supaya mahasiswa USIM menjadikan Rasulullah sebagai ikon terbaik dalam semua aspek khususnya dalam aspek kepimpinan.

“Sambutan Maulidur Rasul merupakan penghormatan dan salah satu cara untuk menzahirkan rasa kecintaan terhadap Rasulullah bahkan berselawat mampu  mendekatkan hati kita dengan baginda Rasulullah”.

“Maulidur Rasul yang kita raikan setiap tahun hendaklah dijadikan momentum untuk meningkatkan lagi gerak langkah ke arah cara hidup yang lebih sempurna sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah,” ujar beliau dalam majlis tersebut.

Sambutan Maulidur Rasul pada kali ini juga turut mempertandingkan beberapa kategori pertandingan. Bagi kategori pasukan terbaik keseluruhan disandang oleh Jabatan Pendaftar dengan membawa pulang piala pusingan beserta hamper, manakala bagi kategori perbarisan terbaik dimenangi oleh Jabatan Bendahari  dan juara bagi kategori sepanduk terbaik pula dimenangi oleh Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah (FPQS).

Sementara itu, menurut Pensyarah Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (FKP), Dr. Mohd Rushdan Mohd Jailani berkata, “Sebagai umat Islam umumnya, pengukuhan aspek rohani amat penting dan merupakan tunjang dalam mencapai keredhaan Allah”.

“Program seperti ini dapat mengingatkan kita tentang tauladan dan kepimpinan Rasulullah serta menjadikan kita sebagai ejen penyampai maklumat kepada masyarakat malah secara tidak langsung sedikit sebanyak boleh membendung masalah gejala sosial daripada terus menular,” kata Muhd Zaid Zainudin, 22, pelajar Fakulti Sains dan Teknologi ( FST).

Oleh: EB Aima Zaki, Suhaila Said, Fathiah Yaakop, Aisy Ahmad