NILAI – Kesedaran untuk membantu pelajar kelainan upaya memberi inspirasi kepada pensyarah-pensyarah Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, USIM untuk menghasilkan bahan bantu mengajar yang diberi nama I-Talk PISKEB.

Ia merupakan satu perisian bahan bantu mengajar (BBM) dalam bidang Pendidikan Islam yang dibangunkan khusus bagi kegunaan murid berkeperluan khas masalah penglihatan (MBK MaL). Projek pembangunan perisian BBM ini juga telah mendapat keizinan daripada Kementerian Pelajaran Malaysia bagi penggunaan isi kandungan buku teks dan logo.

Menurut Dr. Noornajihan Jaafar selaku ketua penyelidik, perisian BBM ini merupakan transformasi daripada buku teks Pendidikan Islam Sekolah Rendah Kebangsaan bagi Darjah Satu hingga Darjah Enam dengan ditambah beberapa elemen tambahan seperti bunyi, dialog dan sebagainya. Dan perisian ini telah dibangunkan hasil garapan idea dan gembelingan tenaga sekumpulan penyelidik terdiri daripada enam orang pensyarah dan empat orang pelajar.

Mereka adalah Prof. Madya Dr. Adnan Mohamed Yusoff ,Dr. Mahyuddin Hashim, Dr. Nurul Asiah Fasehah Muhamad, Haji Norakyairee  Mohd. Raus, Mohd Nur Adzam Rasdi dan empat orang pelajar Nur Syahirah Wahidah Masrom, Nurul Nabila  Ahmad Ruslan, Mohd Harith Fahmi  Mohd Subhi, Muhammad Faeez  Nor Apendi.

“Pembangunan perisian BBM ini merupakan rentetan hasil kajian dan beberapa tinjauan yang telah mendapati bahawa MBK MaL menghadapi cabaran pada peringkat awal pembelajaran di sekolah rendah, iaitu mereka terpaksa menguasai terlebih dahulu kod Braille sama ada dalam sistem rumi, jawi mahupun arab sebelum mereka dapat mempelajari kandungan dalam satu-satu silibus”, jelas Dr. Noornajihan.

“Ini mengakibatkan terdapat segelintir daripada mereka yang menghadapi keciciran dalam pembelajaran, selain dinasihatkan untuk tidak menduduki peperiksaan dek kerana dikhuatiri menjejaskan target pencapaian keputusan peperiksaan sesebuah sekolah. Selain itu, jangka hayat buku teks Pendidikan Islam yang tidak tahan lama dan lasak menjadikan perisian ini sebagai alternatif kepadanya”.

Tambah Dr. Noornajihan, gerak kerja pembangunan perisian ini telah bermula sekitar bulan Februari 2015 dengan tugasan pelajar kursus Aplikasi Braille dalam Pengajian Quran dan Sunnah. Kemudian projek ini diambil alih dan diteruskan oleh sekumpulan pelajar dalam tugasan Final Year Project (FYP) mereka. Seterusnya ia dimurnikan oleh kumpulan pelajar tersebut walaupun setelah selesai FYP mereka. Banyak nilai murni yang dapat dipupuk sepanjang pembangunan perisian ini, antaranya dorongan yang kuat untuk membantu golongan OKU khasnya OKU penglihatan; sikap saling mempercayai dan menghargai antara pensyarah dan pelajar; kerjasama dan bertolak ansur sebagai satu pasukan; sentiasa berada dalam keadaan proaktif dan progresif; kepimpinan dan pengurusan pasukan yang efektif; serta semangat untuk menghasilkan sesuatu produk yang terbaik.

Menariknya, perisian I-Talk PISKEB ini bersifat multi user iaitu berupaya untuk digunakan sama ada oleh MBK MaL mahupun golongan yang celik. Ini kerana ia juga bersifat mesra pengguna yang mana ia boleh diakses oleh komputer biasa mahupun komputer yang menggunakan sistem JAWS, iaitu  satu sistem yang digunakan oleh golongan cacat penglihatan. Maka, perisian ini berupaya untuk dikendalikan sendiri oleh MBK Mal.

Selain itu, perisian ini berpaksikan konsep integrasi ilmu naqli dan aqli selain berdasarkan metode pembangunan sesebuah perisian yang saintifik. Perisian ini bukan sahaja memuatkan kandungan teks buku Pendidikan Islam dalam bentuk audio, bahkan ia turut dilatar belakangkan oleh bunyi-bunyi serta muzik latar. Terdapat juga beberapa isi kandungan buku teks yang  ditukarkan kepada bentuk dialog bagi menarik minat murid yang mendengarnya.

Perisian I-Talk PISKEB ini telah merangkul beberapa pengiktirafan, iaitu gold award untuk IMQS 2015, gold award untuk i-Inova 2015, gold award untuk itex 2016 dan gold award untuk InIIC 2016. Namun, bagi kumpulan penyelidik apa yang lebih penting daripada pengiktirafan tersebut adalah sejauh mana perisian ini dapat dimanfaatkan oleh kumpulan sasar iaitu MBK Mal dan umat Islam umumnya.

Justeru, kumpulan penyelidik sedang mengatur strategik bagi memasarkan I-Talk PISKEB kepada kumpulan sasaran. Diharapkan usaha yang sedikit ini dapat dimanfaatkan oleh umat Islam sejagat serta dinilai di sisi Allah Rabbul Jalil.

Untuk maklumat lanjut:

Dr. Noornajihan Jaafar

Pensyarah Kanan

Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah

Universiti Sains Islam Malaysia

Tel : 06-798 6732

Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)

Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

71800 Nilai, Negeri Sembilan

Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204