MELAKA – Pusat Penyelidikan Ibnu Ummi Maktum (UMMI) sekali lagi telah mengharumkan nama USIM melalui kemenangan memperoleh 3 pingat Emas dan 2 pingat Perak di Melaka International Intellectual Exposition (MIIEX 2024) yang telah berlangsung di UiTM Kampus Melaka pada 12 Jun 2024 baru-baru ini. Majlis telah dirasmikan oleh Yang Berhormat Datuk Hajah Kalsom Noordin, Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti Melaka.
Kemenangan tersebut turut diraikan melalui penerimaan dua pengiktirafan khas melalui Anugerah Tuah (Best Innovation Award) – Projek The Innovation of Eight New Braille Codes for Mashaf Quran Braille Malaysia dan Anugerah Kasturi (Best Design Award) – Projek Malaysia Sign Language Development Model for Islamic Terminology.
Menurut Dr. Nur Atiqah Abdul Aziz, Ketua Penyelidik bagi Projek The Innovation of Eight New Braille Codes for Mashaf Quran Braille Malaysia, projek ini merupakan inovasi terhadap penambahan 8 kod baru Braille di dalam Mashaf Al-Quran Braille Malaysia. “Projek ini adalah usaha dan sumbangan dalam memelihara serta mengangkat kesucian Al-Quran dalam komuniti OKU Penglihatan di samping mengukuhkan rasa inklusiviti dalam kalangan masyarakat” ujarnya. “Sudah pasti kejayaan ini adalah hasil sinergi bersama di samping komitmen dan kesungguhan serta usaha gigih yang diberikan oleh ahli kumpulan dalam memastikan kelancaran semasa pertandingan. “Semoga kemenangan ini memberi inspirasi & semangat untuk kami terus menghasilkan penyelidikan & inovasi yang memberi manfaat berpanjangan kepada Ummah & masyarakat” ujarnya lagi.
Sementara itu, Profesor Madya Dr. Haji Norakyairee Mohd Raus, Pengarah UMMI berharap agar UMMI ini menjadi platform penyampaian dakwah OKU melalui pendekatan integrasi ilmu Naqli dan Aqli yang sentiasa menyokong mana-mana usaha ke arah memperkasa komuniti OKU dan mengupaya peranan masyarakat yang inklusif.
“Terima kasih UiTM Cawangan Melaka di atas kesudian untuk menjemput UMMI sebagai rakan kolaborasi seterusnya menjayakan hasrat dan matlamat MIIEX2024”. “Kita mengharapkan lebih ramai lagi IPT turut serta dalam agenda inklusiviti negara di samping memartabatkan misi muliakan OKU dengan Agama” ujarnya.
Sebanyak lebih 500 penyertaan yang melibatkan Insitusi Pengajian Tinggi Awam dan swasta serta agensi korporat dan jabatan kerajaan telah sertai MIIEX 2024 kali ini.
Sumber: Khairunnisa Ismail