Dr. Muzaffar Syah Mallow
Dr. Muzaffar Syah MallowPensyarah Kanan, Fakulti Syariah & Undang – Undang (FSU)

Ibadah berpuasa bukan sahaja diamalkan oleh umat Islam pada masa kini malah telah lama diamalkan oleh umat–umat terdahulu. Perkara ini jelas telah diceritakan oleh Allah SWT dalam Al-Qur’an melalui firmannya yang bermaksud “Wahai orang–orang yang beriman, diwajibkan berpuasa atas kamu sebagaimana diwajibkan atas umat– umat yang terdahulu sebelum kamu, semoga kamu bertakwa”. (Surah al – Baqarah: Ayat 183).

Pelbagai manfaat yang boleh diperolehi melalui kedatangan bulan yang mulia ini antaranya ialah manfaat kesihatan di mana ibadah berpuasa terbabit dapat membersihkan segala kekotoran yang terdapat dalam tubuh badan seseorang serta pada masa yang sama meningkatkan kadar kesihatan individu terbabit.

Terdapat juga manfaat ekonomi di mana ibadah di bulan puasa ini dapat membendung seseorang itu dari melakukan pembaziran terutamanya dari aspek pembelian makanan, minuman dan barangan yang lain. Ibadah puasa juga menawarkan manfaat jalinanan ukhwah persaudaraan sesama Islam serta pada masa yang sama dapat meningkat keimanan terhadap Allah SWT. Adalah penting juga untuk diketahui ibadah di bulan Ramadan ini melatih umat Islam itu sendiri untuk melakukan segala amalan dengan cara penuh sederhana serta tidak melakukan perkara yang melampaui batas. Ini adalah penting bagi melatih umat Islam supaya bersikap lebih sabar, berdisplin serta memupuk akhlak dan disiplin diri yang baik bukan sahaja setakat dibulan Ramadan malah akan terus menjadi ikutan di bulan-bulan yang lain.

Tidak dapat dinafikan, pelbagai jenis dugaan akan hadir dalam mengharungi bulan Ramadan terutamanya aspek pembelian juadah makanan dan minuman untuk berbuka puasa (iftar) serta penyediaan sarapan waktu sahur. Pelbagai jenis juadah makanan dan minuman juga akan dijual di pasar atau bazar Ramadan, restoran–restoran termasuk juga segala promosi buffet yang akan ditawarkan oleh pihak hotel bagi menarik tumpuan para pengguna untuk datang membelinya. Jika seseorang pengguna Islam tidak dapat mengawal nafsunya sudah pasti akan berlakunya proses pembaziran.

Banyak kali sudah kita didedahkan dengan isu pembaziran makanan dalam negara kita khususnya ketika menyambut bulan Ramadan. Dengan segala jenis juadah yang ditawarkan sudah pasti ia boleh mengugat keimanan seseorang itu untuk melakukan perkara-perkara yang jelas telah dilarang oleh Islam seperti proses pembaziran. Sekiranya sikap pembaziran ini dilakukan, sudah pasti ia akan menjejaskan tujuan ibadah puasa itu sendiri serta menjejaskan amal pahala yang ingin diperolehi.

Perlu diketahui umum, agama Islam amat melarang keras umatnya untuk melakukan pembaziran sehingga Allah SWT menyifatkan orang–orang yang suka membazir itu sebagai saudara syaitan. Firman Allah SWT dalam Surah Al–Israa’ Ayat 26–27 yang bermaksud: “…dan janganlah kamu belanjakan harta kamu dengan boros yang melampau–lampau. Sesungguhnya orang yang membazir (boros) itu adalah saudara syaitan, sedang syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur (engkar) kepada Tuhannya”. Allah SWT juga telah berfirman dalam Surah Al–A’raf Ayat 31 yang bermaksud “…dan makanlah serta minumlah, dan jangan pula kamu melampau; sesungguhnya Allah tidak suka akan orang–orang yang melampaui batas”. Perintah dari Allah SWT ini jelas menunjukkan kepada kita semua mengenai peringatan dan larangan keras dari Allah SWT supaya kita tidak mengamalkan budaya atau sikap pembaziran serta melakukan sebarang perkara secara melampau–lampau.

Perlu diketahui juga, isu pembaziran makanan dalam negara kita bukan lah satu isu yang baru diperkatakan. Mengikut pendedahan yang telah dibuat oleh pihak Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) pada tahun yang lalu, adalah dianggarkan kira–kira 3,000 tan makanan dibuang dalam sehari di Malaysia. Apa yang lebih mendukacitakan kita semua ialah makanan yang telah dibuang berkenaan masih boleh digunakan serta mencukupi untuk memberi makan terhadap dua juta orang manusia yang kelaparan. Secara keseluruhannya, semua jenis sisa makanan terbuang yang membentuk kira-kira 40 peratus atau 15,000 tan metrik, adalah sisa harian isi rumah di Malaysia. Angka-angka ini adalah berdasarkan penyelidikan yang dijalankan oleh Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) sekitar tahun 2015 yang lalu. Pihak SWCorp juga berkata kajian itu juga mendapati bahawa isi rumah yang terdiri daripada lima anggota membelanjakan secara purata RM900 sebulan untuk makanan dan bahawa satu perempat daripadanya terbuang ketika proses penyediaan, memasak dan penggunaan. Adalah menjadi kebimbangan statistik pembaziran makanan ini akan menjadi bertambah serius menjelang kedatangan bulan Ramadan kelak.

Oleh itu adalah penting bagi semua pihak khususnya umat Islam untuk menghayati tujuan utama menyambut bulan Ramadan itu sendiri iaitu untuk beribadah serta meningkatkan keimanan terhadap Allah SWT bukannya untuk dijadikan sebagai bulan pesta makanan dengan melakukan aktiviti pembelian secara melampau sehingga menyebabkan pembaziran wang terhadap segala jenis makanan yang dibeli.

Pelbagai usaha boleh diambil bagi mengatasi masalah pembaziran makanan yang berlaku dalam negara kita. Pada tahun 2015 yang lalu, pihak kerajaan telah melaksanakan program Save Food Malaysia (MYSaveFood) sebagai usaha untuk mengurangkan masalah pembaziran makanan di negara ini.

Pada tahun 2015 yang lalu juga, pihak Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) telah menggesa pihak kerajaan supaya mewujudkan sebuah “Akta Pembaziran Makanan” khusus bagi mengekang budaya pembaziran makanan di kalangan rakyat Malaysia terutamanya yang dilihat banyak berlaku di bulan Ramadan. Melalui pengenalan undang–undang terbabit, pelbagai jenis tindakan undang–undang yang boleh dipertimbangan dan diambil terhadap mana-mana pihak yang jelas melakukan proses pembaziran makanan. Kewujudan akta khusus berkenaan dilihat penting kerana ia dapat memberi kesedaran kepada masyarakat dalam negara kita supaya tidak sewenang–wenangnya melakukan sebarang aktiviti pembaziran makanan seperti dengan mengenakan penalti atau denda dan sebagainya.

Dalam mengekang budaya pembaziran makanan ini, apa yang paling penting adalah kesedaran yang perlu wujud dikalangan diri pengguna itu sendiri khususnya umat Islam untuk menjalani ibadah di bulan puasa dengan sempurna dengan memberi fokus kepada amal ibadah dan bukannya memberi fokus pada juadah makanan. Sekiranya kita berjaya mengamalkan serta melatih diri kita untuk bersikap sederhana sepanjang bulan ini, amalan terbabit akan menjadi ikutan untuk bulan-bulan yang lain. Selamat menyambut kedatangan Ramadan Al–Mubarak buat semua umat Islam.