Dr. Nurkhamimi Zainuddin
Dr. Nurkhamimi ZainuddinDekan, Fakulti Pengajian Bahasa Utama

Dalam kehidupan manusia seharusnya kita perlu berhati-hati dengan segala ujian yang melanda umat manusia hari ini. Sesungguhnya Allah SWT telah memberi peringatan dan menjanjikan azab yang pedih kepada manusia bukan hanya pada yang zalim, malah kepada yang beriman juga. Jenayah dan maksiat menjadi ancaman kepada kesejahteraan masyarakat dan negara dan dituntut agar kita semua menjauhinya sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah al-Maidah ayat 90:

Maksud: “Wahai orang yang beriman! Sesungguhnya arak, judi, pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah adalah semata-mata kotor (keji) daripada perbuatan syaitan. Oleh itu, hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.”

Pada hari ini, tidak dinafikan lagi bahawa kemaksiatan dan kemungkaran semakin bermaharajalela. Aktiviti perjudian, pelacuran, perzinaan dan sebagainya memenuhi setiap inci muka bumi ini. Maka tidak hairanlah, kenapa Allah SWT menimpakan kepada penduduk negeri tersebut bencana, malapetaka dan wabak. Sebagai contoh, penyakit AIDS yang ditemui pada penghujung tahun 1980 dan sehingga kini masih belum ada penawarnya. Penyakit ini adalah bukti azab dan kemurkaan Allah SWT terhadap aktiviti zina dan pelacuran yang dilakukan oleh manusia selama ini.

Kebanyakan jenayah yang berlaku pada hari ini seperti mencuri, merompak, meragut, rogol, bunuh dan sebagainya berpunca daripada pengambilan dadah. Berdasarkan kajian para ulama dan ahli perubatan Islam, kesan penggunaan dadah adalah sama dengan kesan meminum arak kerana ia boleh memabukkan dan menghilangkan kewarasan akal. Hal ini bertepatan dengan sabda Rasulullah SAW:

Maksudnya: “Setiap perkara yang memabukkan itu arak, dan setiap arak itu haram. Sesiapa yang telah minum arak di dunia dan mati tanpa sempat bertaubat, dia tidak akan dapat meminumnya di syurga.”

Statistik dari Januari hingga Disember 2018 menunjukkan bahawa jumlah umat Islam yang terjebak dengan gejala penagihan dadah adalah berjumlah 20,956 orang atau 80.1 peratus daripada jumlah keseluruhannya, iaitu 25,922 orang. Jumlah ini adalah yang teramai berbanding kaum lain yang terlibat dengan gejala dadah.

Oleh itu, usaha membanteras dan memerangi dadah serta jenayah yang seumpamanya adalah perbuatan mulia yang dituntut oleh Islam. Tanggungjawab ini bukan hanya terletak kepada pihak berwajib sahaja, bahkan melibatkan semua lapisan masyarakat. Umpama pepatah melayu “Yang buta meniup tepung, yang pekak membakar meriam, yang capik menghalau ayam, yang kurap menyiang buluh,,” ia menggambarkan kesediaan setiap anggota masyarakat untuk memainkan tanggungjawab dan peranan masing-masing ke arah memerangi dadah secara habis habisan.

Marilah kita bekerjasama memerangi kemungkaran dan menutup segala ruang gejalanya. Ibubapa pula hendaklah sentiasa meluangkan masa dan memberi perhatian kepada anak-anak agar hidup mereka tidak terjebak dengan masalah dadah. Didiklah anak-anak supaya mempunyai lebih rasa bertangungjawab dan sentiasalah berkongsi pandangan dan masalah dengan mereka. Firman Allah SWT dalam Surah al-Maidah ayat 2:

Maksudnya: “Dan hendaklah kamu tolong-menolong untuk membuat kebajikan dan bertakwa, dan janganlah kamu tolong-menolong pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertakwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah amat berat azab seksa-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintah-Nya).”

Ingatlah, jika kita langsung tidak ambil peduli dan membiarkan maksiat terus bermaharajalela, maka bersedialah untuk mendapat bala bencana. Kita perlu ingat dan sedar, apabila bala bencana menimpa, ia tidak mengenal siapa mangsanya. Apakah kita sanggup menghadapi bala menimpa negara kita? Tepuk dada tanya iman. Sejarah lampau memperlihatkan kepada kita bagaimana akhirnya golongan manusia yang mengabaikan perintah menyuruh kepada makruf dan mencegah kemungkaran.