Dr Siti Suriani Othman
Dr Siti Suriani OthmanPensyarah Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan
Prof Dato Dr Mohammad Hj Alias
Prof Dato Dr Mohammad Hj AliasFelo Fakulti Ekonomi dan Muamalat

Mempelajari bahasa asing itu menarik tetapi bukan mudah. Ia memerlukan sains tertentu yang perlu dimahirkan, diyakini dan diamalkan. Dengan itu, pastinya mereka yang berkeupayaan fasih pelbagai bahasa mengkagumkan ramai. Namun, fakta saintifik menunjukkan, lebih mudah apabila yang mempelajarinya itu anak kecil, kerana keupayaan minda yang lebih tajam dan mudah menerima pembelajaran bahasa asing secara semulajadi.

Ini tidak pula bermakna, pintu mempelajari bahasa asing sudah tertutup bagi kalangan orang dewasa. Ada bahasa yang kita perlu pelajari sungguhpun bukan anak kecil lagi. Bahasa istimewa ini adalah bahasa Arab dan kepentingan mempelajarinya dalam kalangan umat Islam telah dinyatakan oleh Allah SWT: “Sesungguhnya Kami menurunkan kitab itu sebagai Quran yang dibaca dengan bahasa Arab supaya kamu (menggunakan akal untuk) memahaminya.” (Surah Yusuf, ayat 2)

Dalam ayat lain, Allah SWT berfirman yang maksudnya: “Dan demikianlah Kami menurunkan al-Quran sebagai hukum dalam bahasa Arab.” (Surah al-Ra’d, ayat 37)

Mempelajari bahasa Arab sebagai satu usaha pembelajaran sepanjang hayat pula selari dengan saranan Nabi SAW yang bersabda, “Jadilah engkau orang berilmu, atau orang yang menuntut ilmu, atau orang yang mau mendengarkan ilmu, atau orang yang menyukai ilmu. Dan janganlah menjadi orang yang kelima maka kamu akan celaka” (HR Baihaqi).

Jika dilihat pula dalam bentuk yang praktikal, keperluan mempelajari bahasa Arab umumnya boleh dibahagikan kepada tiga tujuan utama iaitu mempelajarinya sebagai keperluan akademik bagi pelajar-pelajar yang mengambil kursus berkenaan, manakala bagi masyarakat umum, matlamat pembelajaran adalah sebagai mempelajari bahasa al-Quran untuk tujuan mendekati agama Allah serta pembelajaran sepanjang hayat untuk tujuan komunikasi antarabudaya.

Kita akan menfokuskan kepada matlamat mempelajari bahasa Arab bagi masyarakat umum dalam usaha memasyarakatkan bahasa Arab. Buat masa ini, tidak keterlaluan dikatakan jika perbualan dalam bahasa Arab masih janggal bagi kebanyakan warga Malaysia sungguhpun kita termaktub sebagai sebuah negara Islam. Yang kita tidak inginkan, ada kajian menyatakan apabila tidak celik bahasa Arab, yang dirunsingkan adalah ketidakupayaan memahami agama dan boleh kehilangan arah dalam hidup. Dalam konteks ini, jika ini dilihat sebagai satu masalah, maka kita perlu menyelesaikannya dan membuat penambahbaikan segera.

Fakta umum tentang bahasa Arab yang menarik perhatian mungkin boleh dijadikan motivasi awal mempelajari bahasa ini. Kedudukannya sebagai salah satu bahasa daripada enam bahasa yang digunakan di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dengan jumlah penutur asli melebihi 293 juta orang pastinya bahasa Arab mempunyai nilai yang tersendiri di dunia ini terutama dalam kalangan umat Islam. Malah, dalam konteks tempatan, kita sendiri lihat sumbangan dan pengaruh bahasa Arab terhadap bahasa Melayu apabila lebih 2000-3000 perbendaharaan kata bahasa Melayu dipinjam daripada bahasa Arab.

Dengan kekuatan dan status bahasa Arab itu sendiri, dan kedudukannya yang istimewa dalam kalangan umat Islam, pastinya ini sedikit sebanyak boleh menjadi motivasi kepada golongan dewasa untuk mempelajari bahasa Arab. Lalu persoalan yang bermain di benak ialah bagaimana kita boleh mempelajari bahasa Arab dengan mudah sedangkan kita maklum, mempelajari bahasa asing adalah satu “tugas” berat yang memerlukan tenaga yang tinggi dan usaha yang konsisten.

Prof. Dr. Rosni Samah iaitu profesor di Fakulti Pengajian Bahasa Utama (FPBU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang juga pakar bidang pengajaran bahasa Arab kepada bukan penutur asli menyatakan kaedah belajar bahasa Arab yang berkesan ialah mengutamakan pembelajaran komunikasi bahasa Arab terlebih dahulu. Apabila penutur sudah berkeupayaan berkomunikasi, barulah aspek-aspek lain dalam proses pembelajaran diutama seperti mempelajari nahu dan sebagainya.

Perspektif mempelajari bahasa Arab menerusi pendekatan Ibnu Khaldun ini dilihat antara kaedah yang berkesan untuk memudahkan proses mempelajari bahasa Arab. Menurut tokoh Islam yang disegani seantero dunia ini, ilmu bahasa Arab mempunyai empat rukun iaitu ilmu nahu, ilmu bahasa (sharaf), ilmu bayan dan ilmu adab. Bagi Ibnu Khaldun, mempelajari bahasa Arab harus bermula dengan “bercakap” dan mempraktikkannya secara berulang-ulang. Di sini, kita boleh belajar menghafal ayat Quran, hadis, syair Arab untuk memantapkan sebutan dan menambahkan keyakinan berkomunikasi dengan kosa kata yang bertambah.

Pendekatan ini boleh diaplikasikan dalam meningkatkan kebolehan warga universiti-universiti di Malaysia dalam penguasaan bahasa Arab terutama di universiti-universiti Islam. Kita maklum, bukan semua ahli akademik dan staf universiti Islam mempunyai latar belakang bahasa Arab, terutama yang lahir daripada sistem pendidikan konvensional. Hal ini adalah kekuatan dan cabaran dalam usaha mengintegrasikan ilmu Quran dan ilmu akal, namun dalam masa yang sama mewujudkan keperluan penguasaan bahasa Arab setidak-tidaknya di peringkat komunikasi untuk mewujudkan suasana dan ruang pembelajaran bahasa yang kondusif buat semua termasuk para pelajar yang merupakan penutur bukan asli dan pelajar yang sedang belajar bahasa Arab.

Menyedari kepentingan itu, lebih banyak gerakan bahasa Arab perlu diadakan di universiti-universiti Islam tempatan dalam memotivasi, membimbing dan menggalakkan penggunaan bahasa Arab dalam kalangan warga universitinya. Usaha ini telah ada, namun mungkin lebih bersikap silo atau usaha berseorang. Setiap universiti Islam mempunyai kaedahnya yang tersendiri, namun, mungkin juga sudah tiba masanya gerakan yang lebih padu dilaksanakan di peringkat universiti masing-masing dan dengan kekuatan itu nanti, pelbagai kerjasama boleh dijalankan di peringkat kebangsaan antara universiti-universiti Islam tempatan dalam memastikan bahasa Arab menerima perhatian sewajarnya sekaligus meletakkannya di mana ia sepatutnya diletakkan.