Kesedaran masyarakat terhadap Islam dan keinginan melahirkan anak-anak sebagai generasi al-Quran menyumbang ke arah pertumbuhan institusi tahfiz yang bagaikan cendawan selepas hujan. Ibu bapa juga turut memilih institusi tahfiz sebagai pusat pendidikan kepada anak-anak mereka. Kerajaan sasarkan pada tahun 5050 bilangan huffaz atau yang menghafal al-Quran mencecah 250,000. Mereka ini bukan sekadar menghafal al-Quran bahkan mampu menguasai disiplin dan bidang ilmu profesional. Justeru itu lahirlah modal insan yang menghafal dan menghayati al-Quran dalam membangunkan masyarakat.
Untuk mencapai tahap tersebut, institusi tahfiz yang sedia ada pada hari ini dengan kepelbagaian kurikulum perlu melalui proses revolusi dalam kurikulum yang ditawarnya. Ini bagi membolehkan pelajar bukan sekadar menghafal al-Quran sahaja, tetapi mempelajari disiplin dan bidang-bidang ilmu profesional yang lain. Hasrat kerajaan tidak akan tercapai dengan semata-mata hafalan al-Quran sahaja tanpa memiliki kemahiran lain, kerana mereka tidak boleh memasuki institusi yang lain selepas menamatkan hafalan di sebabkan tidak mempunyai sijil arus perdana pendidikan.
Dengan sebab itu, kurikulum institusi tahfiz perlu mengambil kira subjek-subjek daripada kurikulum arus perdana dengan menawarkan minima subjek yang membolehkan mereka menduduki peperiksaan SPM. Dengan memiliki SPM, pelajar tahfiz mampu memasuki institusi arus perdana yang sedia ada dengan memperkembangkan hafalan dan ilmu al-Quran. Mereka tidak terbatas hanya menghafal al-Quran sahaja, bahkan mereka menjadikan hafalan sebagai teras untuk mendalami ilmu-ilmu yang lain. Begitu juga mereka tidak menamatkan pengajian selepas selesai hafalan. Sebaliknya mereka mempunyai pengetahuan ilmu sepanjang hayat yang boleh dikembangkan bagi menghadapi revolusi industri 4.0 yang membolehkan mereka menyesuaikan diri dan merebut peluang yang ada.
Dengan revolusi korikulum ini, institusi tahfiz akan dapat melahirkan modul insan yang memiliki gabungan dua ilmu, iaitu ilmu al-Quran dan juga ilmu profesional semasa. Gabungan ilmu ini kita dapat lihat kepada tokoh-tokoh sarjana Islam lampau seperti Ibnu Sina, Ibnu al-Nafis dan lain-lain lagi yang mana mereka menghafal al-Quran sejak dari kecil lagi. Selepas itu mereka mendalami ilmu-ilmu profesional yang lain. Dengan proses ini akan lahirlah golongan masyarakat profesional celik al-Quran yang dapat menyelesaikan masalah masyarakat dan membangunkan negara dengan harmoni.