Dr. Muzaffar Syah Mallow
Dr. Muzaffar Syah MallowPensyarah Kanan, Fakulti Syariah & Undang – Undang

Pada penghujung bulan Februari yang lalu, Raja Arab Saudi, Raja Salman Bin AbdulAziz As – Saud telah mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia. Malaysia menjadi lokasi lawatan pertama baginda ke luar negara semenjak menaiki takhta pada tahun 2015 yang lalu. Pelbagai manfaat telah berjaya diperolehi oleh kedua – dua belah pihak sepanjang proses lawatan baginda ke Malaysia.

Antara yang menjadi tumpuan ialah persetujuan baginda terhadap penubuhan sebuah pusat khusus dalam mempromosi proses kedamaian peringkat antarabangsa yang diberi nama “King Salman Centre for International Peace (KSCIP)” atau Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman. Penubuhan KSCIP melibatkan kerjasama antara Kementerian Pertahanan Malaysia dan Arab Saudi, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) bersama Muslim World League (Liga Islam Sedunia).

Kementerian Pertahanan Malaysia dengan inisiatif menterinya, Dato’ Seri Hishamuddin Tun Hussein memainkan peranan utama bagi menggerakkan penubuhan KSCIP. KSCIP berperanan sebagai sebuah pusat kecemerlangan dan institusi profesional di peringkat antarabangsa sekaligus bertanggungjawab kepada Kerajaan Malaysia melalui Institut Pertahanan dan Keselamatan Malaysia (MiDAS) di bawah Kementerian Pertahanan dengan mempelopori hal ehwal menangani isu dan ancaman keselamatan berbentuk keganasan melalui penyelidikan dan perkongsian maklumat.

Apa yang menarik mengenai penubuhan pusat berkenaan ialah dengan terpilihnya sebuah universiti tempatan iaitu Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) bagi menjayakan penubuhan pusat berkenaan melalui kerjasama erat dengan pihak – pihak yang berkaitan dari dalam dan luar negara.

Dalam menghadapi suasana dunia pada masa kini yang semakin mencabar khususnya yang melibatkan ancaman yang datang dari kumpulan – kumpulan dan individu tertentu yang giat melakukan kegiatan keganasan, penubuhan sebuah pusat yang memberi fokus terhadap aspek penjagaan dan penyebaran kedamaian adalah tepat pada masanya supaya semua pihak serta generasi akan datang dapat mengecapi kehidupan yang lebih aman dan damai.

Dunia masa kini dilihat ramai sering diancam dengan pelbagai jenis ancaman sama ada ancaman dari sudut peperangan, konflik antara kaum dan agama, pembunuhan,dan terkini ancaman keganasan. Penubuhan sebuah pusat yang dapat menjadi sebagai satu platform penting ke arah menjadikan dunia lebih stabil dan harmoni.  Antara peranan penting yang boleh dimainkan melalui penubuhan pusat ini termasuklah dalam aspek menjalankan kajian dan penyelidikan yang lebih mendalam ke atas mana – mana isu yang dilihat boleh menjejaskan keamanan global itu sendiri.

Melalui penubuhan pusat berkenaan, golongan pemikir dari dalam dan luar negara dapat berkumpul serta bertukar – tukar pandangan terhadap mana – mana perkara atau isu berbangkit yang dilihat boleh menjejaskan keamanan global. Pada masa yang sama juga, golongan pemikir yang berkumpul di pusat berkenaan dapat melahirkan beberapa idea bernas yang boleh digunapakai bagi memelihara serta mempromosi proses keamanan global. Selain daripada itu, penubuhan pusat terbabit juga dapat memberi ruang kepada semua pihak untuk duduk berbincang mengenai sesuatu perkara yang melibatkan keamanan global.

Melalui langkah ini, penubuhan pusat keamanan antarabangsa berkenaan juga dilihat secara tidak langsung boleh menjadi jambatan perhubungan antara dunia Islam dengan bukan Islam atau antara negara timur dan barat untuk duduk semeja serta melakukan sebarang proses perbincangan terhadap mana – mana isu berbangkit yang melibatkan aspek keselamatan dan keamanan global. Dengan ini, sebarang salah faham yang berlaku diantara dua masyarakat terbabit dapat diselesaikan dengan baik tanpa berlaku konflik berpanjangan.

Yang paling penting, penubuhan pusat keamanan yang sedang diusahakan itu juga dapat menamatkan dan menghentikan sebarang usaha tidak baik oleh mana – mana pihak atau kumpulan yang suka melaga – lagakan antara satu pihak dengan satu pihak yang lain demi kepentingan diri mereka sendiri seperti golongan ekstremis dan pengganas. Ini dapat dilakukan melalui proses penyebaran maklumat yang lebih sahih, selaras dengan ajaran sebenar agama Islam serta yang mewakili suara umat Islam yang manjoritinya inginkan kedamaian.

OIeh yang demikian, penubuhan pusat keamanan terbabit perlu dipandang positif oleh semua pihak baik di dalam negara mahupun di luar negara kerana ia boleh beri pelbagai manfaat kepada semua pihak untuk hidup dalam keadaan aman dan selamat. Semua pihak harus memberi sokongan jitu dan padu terhadap proses penubuhan pusat keamanan terbabit serta membantu untuk menjadikan pusat keamanan global terbabit sebagai pusat yang boleh mencorak perubahan kearah menjadikan persekitaran dunia yang lebih baik dan aman.