Prof. Madya Dr Muhammad Ridhwan Ab. Aziz
Prof. Madya Dr Muhammad Ridhwan Ab. Aziz Fakulti Ekonomi dan Muamalat

Sistem kewangan Islam merupakan satu sistem yang amat berbeza dengan kewangan konvensional dari segi matlamat, objektif dan operasinya. Sistem ini telah terbukti menjadi alternatif terbaik kepada kewangan konvensional sama ada dalam sektor perbankan Islam, takaful, pasaran modal serta pengurusan harta Islam. Dalam kemajuan dan kegemilangan sektor kewangan Islam ini, timbul pula istilah kewangan sosial Islam yang semakin rancak diperkatakan kini.

Institusi kewangan sosial Islam merujuk kepada institusi tradisional dalam Islam berasaskan konsep sadaqah dan kedermawanan seperti zakat, sadaqah dan wakaf. Ia juga meliputi konsep kerjasama dan tolong-menolong di antara dua pihak seperti qard atau pinjaman dan kafalah atau jaminan yang berobjektif untuk menangani masalah kemiskinan dan membantu mereka yang tidak berupaya dari sudut kewangan. Institusi kewangan sosial Islam pada asasnya adalah sebuah organisasi yang bukan bermatlamatkan keuntungan atau dengan kata lain ia merupakan satu badan amal atau kebajikan yang bertujuan ke arah perlaksanaan konsep wakaf, zakat, sadaqah dan qard al-hasan (pinjaman tanpa faedah) dalam masyarakat Islam.

Konsep berlumba-lumba dalam melakukan amalan kebajikan amat ditekankan dalam Islam dan sangat sesuai untuk diaplikasikan terutama dalam bulan Ramadan yang penuh dengan keberkatan ini di mana setiap amalannya akan dilipat gandakan oleh Allah SWT. Ini sesuai dengan hadith Nabi Muhammad SAW yang bermaksud “Nabi SAW adalah orang yang paling gemar bersedekah. Semangat baginda dalam bersedekah lebih membara lagi ketika bulan Ramadan, tatkala itu Jibril menemui baginda pada setiap malam dalam bulan Ramadan. Jibril mengajarkan Al-Quran pada masa itu, dan Rasulullah SAW adalah yang paling pemurah dan bersemangat dalam melakukan kebaikan seperti angin yang bertiup.” (Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim)

Di Malaysia, terdapat pelbagai institusi kewangan sosial Islam yang boleh diaplikasikan untuk membuat kebajikan dan menambah sadaqah dan zakat seperti institusi zakat di setiap negeri, institusi atau perbadanan wakaf negeri, baitulmal di samping institusi lain bagi membantu golongan yang miskin dan amat memerlukan. Ruang yang terbuka luas ini wajar diambil manfaat oleh orang Islam dalam bulan yang penuh dengan kemuliaan ini bagi sama-sama untuk menyumbang dalam bentuk sadaqah tambahan, bayaran zakat harta dan fitrah, berwakaf secara tunai atau harta kekal juga bagi mensucikan harta yang haram atau syubhah. Amatlah rugi sekiranya peluang yang datang sekali setahun ini disia-siakan oleh orang Islam bagi menjana pahala tambahan dan berlipat kali ganda. Ini selaras dengan hadith Nabi SAW yang berkait dengan puasa dan memberi sumbangan kepada orang miskin dan yang memerlukan seperti sabda Nabi SAW “Rasulullah SAW mewajibkan zakat fitrah untuk menyucikan bagi orang yang berpuasa dari perbuatan yang tidak bermanfaat dan keji serta sebagai makanan bagi orang miskin.” (Hadith Riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah)

Manfaat yang bakal diperolehi oleh golongan yang kurang berkemampuan melalui kewujudan institusi kewangan sosial Islam ini bukanlah sedikit. Misalnya, dana zakat yang dikumpulkan dari pembayar zakat mampu membela nasib asnaf-asnaf untuk mengecapi hidup yang lebih bermakna. Begitu juga dengan institusi wakaf, di mana golongan yang menjadi penerima manfaat wakaf dan masyarakat yang memerlukan dapat memperolehi faedah dari sumbangan wakaf tersebut. Contohnya, di Seremban 2, Negeri Sembilan di mana orang Islam setempat dapat memperolehi manfaat daripada pembinaan Masjid Hussain yang dibina sepenuhnya melalui konsep wakaf. Kos pembinaan masjid ini yang mencecah RM22.6 juta diperolehi melalui amalan wakaf individu yang berhati mulia yang mana kewujudan masjid ini mampu menyemarakkan lagi aktiviti keagamaan di kawasan setempat.

Walaupun usaha untuk mempertingkatkan amalan sadaqah, berwakaf dan berzakat sangat dituntut untuk dilakukan dalam bulan ini, namun aspek penyucian harta amat kurang diberi perhatian oleh semua pihak. Harta-harta yang telah diperolehi secara haram atau syubhah sama ada melalui perolehan faedah atau dividen dari institusi kewangan dan pelaburan konvensional wajar dibersihkan oleh pemiliknya. Kaedah mensucikan harta haram dan syubhah tersebut boleh dilakukan dengan diserahkan kepada pihak baitulmal di negeri masing-masing. Dengan penyerahan ini, wang atau harta tersebut akan dibersihkan dan pemilik tersebut adalah bebas daripada tanggungan harta yang haram dan syubhah terbabit. Ini kerana sebanyak mana pun harta yang diniatkan dan disumbangkan untuk tujuan zakat, sadaqah atau wakaf namun sekiranya, harta tersebut masih dikategorikan sebagai harta yang haram dan syubhah maka, perbuatan tersebut hanya sia-sia sahaja. Malah, pahala berganda yang diburu tidak akan tercapai bahkan sebaliknya akan menghasilkan dosa pula.

Bersempena dengan kedatangan bulan Ramadan al-mubarak ini, orang Islam digesa untuk berlumba-lumba dalam meraih dan menjana pahala yang berganda melalui pelbagai institusi dalam kewangan sosial Islam sama ada untuk menambah sadaqah, melunaskan pelbagai jenis zakat, melakukan amalan wakaf ataupun bagi membersihkan harta dari sumber yang haram dan syubhah. Ruang dan peluang yang terbuka luas dalam bulan ini dan melalui institusi kewangan sosial Islam yang sedia ada perlu diambil manfaat oleh semua pihak. Dengan sokongan dan sifat berlumba-lumba dalam membuat kebaikan dan kebajikan oleh umat Islam dalam bulan ini dapat menjamin usaha yang dilakukan tersebut memberi manfaat yang semaksimum mungkin kepada golongan miskin dan yang kurang bernasib baik. Dapat disimpulkan, kewujudan institusi kewangan sosial Islam ini bukan hanya membuka ruang kepada orang Islam untuk melipatkan usaha untuk menyumbang dan berinfaq malah, menjadi institusi yang boleh dijadikan tempat bergantung golongan yang kurang berkemampuan dari segi kewangan untuk sama-sama memperolehi manfaat dan nikmat di negara ini.