Artikel- artikel yang bakal anda baca ini akan merubah cara hidup anda pada masa hadapan kerana dengan membaca dan mengamalkan apa yang disarankan, anda akan dapat membezakan cara dan strategi kewangan anda dari yang kebiasaan yang diamalkan orang di dalam dunia ini.
Perbezaan utama ialah dari segi bagaimana untuk merancang, membuat strategi dan juga untuk mengambil tindakan di atas kestabilan dan pertumbuhan kewangan anda. Ramai yang mempercayai jika seseorang itu belajar di menara gading di dalam bidang perniagaan, perakaunan atau kewangan, secara automatik mereka akan mempunyai masa depan yang cerah kerana mempunyai pengetahuan untuk mengurus kewangan.
Walaubagaimanapun pernyataan ini menyimpang dari realiti sebenar kerana jika kita lihat bekas graduan pelajar universiti di dalam bidang ini pun akan mempunyai masalah kewangan seperti mana graduan-graduan pelajar di dalam bidang lain juga.
Secara amnya, ramai graduan yang telah bekerja akan mempunyai baki tunai di bank sebanyak RM100 pada tiap akhir bulan. Malah ada juga yang telah kehabisan gaji bulanan pada pertengahan bulan iaitu di antara 15 hingga 25 hari bulan tiap-tiap bulan.
Persoalannya, mengapakah graduan dari bidang kewangan, perakaunan, dan perniagaan yang telah mendalami ilmu bidang kewangan selama 4 ke 5 tahun di universiti masih mempunyai masalah kewangan seperti kebanyakan orang lain.
Adakah subjek-subjek yang berteraskan kewangan di universiti tidak mencukupi atau adakah pelajar tidak dapat memahami apa yang mereka pelajari? Jika diteliti secara mendalam, kebanyakan subjek yang ditawarkan di universiti menjurus kepada bagaimana pelajar hendak menguruskan kewangan syarikat atau pelabur.
Pelajar jurusan Akaun akan menjadi pakar di dalam merekod dan melapor akaun syarikat, pelajar jurusan Kewangan pula akan menjadi pakar analisa kewangan untuk melaburkan wang pelabur manakala pelajar jurusan Perniagaan akan menjadi pakar untuk mengurus perjalanan syarikat seterusnya meningkatkan keuntungan kepada syarikat.
Pelajar-pelajar menjadi terlalu pakar di dalam menguruskan kewangan individu lain dan syarikat sehingga mereka terlupa bahawa kewangan peribadi juga perlu diurus secara bijak untuk menjamin mereka tidak dilanda jerat beban kewangan yang akan menjadikan mereka hamba sehingga mereka tua.
Justeru itu, penulis ingin membuka minda pembaca semua untuk bersama-sama mencapai tahap kewangan bebas yang mana kita tidak terjerat dengan beban hutang atau dengan singkatnya menjadi MINDA jutawan. Berbagai persoalan akan terbentuk di benak anda, apakah dengan mempunyai minda jutawan kita akan dapat keluar dari jerat beban kewangan dan mencapai kewangan bebas? Jawapannya mudah iaitu YA. Ini adalah kerana dengan memprogramkan minda kita, kita akan menjadi lebih fokus untuk mencapai sesuatu yang telah kita tetapkan.
Jika anda membaca buku “Think and Grow Rich” oleh Napolean Hill yang telah menemuramah seramai 500 orang jutawan di dalam zamannya, maka anda akan mendapati bahawa kesemua jutawan yang ditemuramahnya memulakan pagi mereka dengan teknik berfikir untuk mencapai kejayaan. Si jutawan berfikir pada setiap pagi untuk mencapai sesuatu matlamat yang telah ditetapkan. Teknik atau amalan yang digunakan oleh jutawan-jutawan itu sebenarnya adalah teknik yang selalu diamalkan oleh kita. Amalan yang dimaksudkan ialah berdoa selepas solat pada waktu subuh.
Berdoa dapat memusatkan seluruh tenaga dan tindakan kita untuk mencapai sesuatu matlamat pada hari tersebut. Berdoa selepas subuh sebagai contohnya dapat memprogramkan minda kita supaya lebih fokus untuk mencapai matlamat kita dan jika kita berdoa secara berterusan atau istiqomah maka insya-Allah kita akan dapat mencapai matlamat kita ini.
Jadi jika kita sentiasa berdoa pada setiap waktu solat maka kita akan fokus terhadap apa yang kita mahukan pada setiap hari untuk kita mencapai matlamat yang lebih besar seperti menjadi jutawan mukmin yang beriman di dalam tempoh 5 tahun dan sebagainya.
Persoalannya, mengapa anda perlu menjadi jutawan tidak perlu disenaraikan di sini, cukup sahaja dengan membuka peluang kepada kita untuk memudahkan kita menjalankan ibadah dan mengeluarkan zakat.
BERSAMBUNG SIRI 2