Di dalam siri 3, saya ada mengatakan bahawa, perancangan dan pengurusan kewangan adalah penting untuk masa depan kita. Simpanan perlu kita buat walaupun sedikit dan untuk menjadikannya suatu tabiat bukanlah suatu yang mudah kerana kita semua suka berbelanja. Malah ada yang berbelanja lebih dari kemampuan walaupun kita pernah melalui zaman ekonomi yang tidak memberangsangkan. Ada diantara kita pernah melalui zaman ekonomi gawat pada tahun 1998 dimana krisis mata wang melanda negara kita dan beberapa negara jiran. Ada juga yang berkesempatan untuk melalui kegawatan ekonomi pada tahun 2007 hingga 2010 di mana negara Amerika Syarikat mengalami krisis yang krisis subprima.
Impaknya dapat dirasai oleh ekonomi global, bermula dengan krisis industri hartanah dan perbankan di Amerika yang terlalu mudah untuk memberikan pembiayaan tanpa mengenalpasti keupayaan untuk pembayaran balik. Pinjaman-pinjaman hartanah tersebut telah dijual di pasaran sekunder sekuriti di mana cagaran aset-aset hartanah yang tidak berkualiti menjadi sandaran. Apabila krisis hartanah berlaku (housing bubble) di Amerika, ramai pembeli hartanah tidak dapat membayar balik pinjaman dan menyebabkan aset-aset yang dicagar ini menjadi aset yang tidak berkualiti dan memberi impak yang besar kepada ekonomi Amerika dan global secara amnya.
Apa yang dapat kita ambil iktibar di sini ialah kitaran ekonomi berlaku seperti yang telah di terangkan oleh Nabi Yusof iaitu ada tujuh tahun ekonomi akan berkembang dan tujuh tahun ekonomi akan meleset disebabkan kemarau. Nabi Yusof sebagai menteri kewangan negeri Mesir menyarankan agar simpanan dilakukan untuk menghadapi masa ekonomi tidak menentu. Berbalik kepada masa sekarang, apa yang patut kita lakukan untuk menghadapi kitaran ekonomi yang seterusnya?
Saya pernah memerhatikan perbincangan rakan-rakan dalam group whatsApp alumni SMAP Labu tentang adakah kita perlu menyimpan dan menyediakan kemudahan kepada anak-anak kita, seperti menyediakan rumah untuk mereka diami demi mengharungi masa depan yang mencabar. Perbincangan ini timbul apabila salah seorang dari rakan saya bermesyuarat dengan 2 orang pekerja kerajaan yang berjawatan tinggi tentang urusan kerja. Kedua-dua mereka adalah wanita. Sejurus selesai bermesyuarat tentang urusan kerja, perbincangan tentang urusan anak-anak menjadi topik hangat.
Pada asalnya salah seorang dari wanita tersebut berbicara tentang ekonomi semasa di mana beliau menyatakan bahawa kita mungkin akan mengalami defisit berkembar pada masa akan datang. Rakan saya mencelah bersetuju dan menyatakan beliau dan isteri bekerja berhempas pulas untuk meninggalkan harta kepada anak-anak. Penyataan rakan saya itu disangkal oleh kedua-dua wanita tersebut dengan menyatakan tindakan ibu-bapa yang menyediakan harta untuk anak-anak menyebabkan mereka menjadi terlalu manja dan akhirnya menjadi tidak berdaya saing. Rakan saya cuba untuk memberi penjelasan akan tindakannya adalah bertujuan untuk mengelakkan anak-anaknya dari mengalami keperitan dan kesukaran beliau bersama isteri untuk membangunkan ekonomi keluarga. Sekurang-kurangnya beliau dapat memberikan anak-anak bekalan untuk memulakan kehidupan.
Rakan wanita tersebut pula mencelah “Biarlah diorang alami kesukaran tu.. kenapa you nak make it any easier? Itulah yang nanti akan mengajar mereka tentang kehidupan”. Rakan saya membalas dengan mengatakan bahawa situasi yang di alami oleh mereka dan anak-anak adalah tidak sama. Tambah beliau “Dulu kita boleh mendapatkan pekerjaan berdasarkan kelayakan akademik walaupun kita hanya memiliki diploma. Sekarang persaingan amat tinggi, situasi sudah berbeza”. Kedua-dua wanita tersebut masih tidak dapat bersetuju dengan memberikan jawapan agar generasi sekarang untuk bekerja dengan lebih kuat disebabkan situasi dulu dan sekarang berbeza. Malah mereka tidak bersetuju dengan tindakan ibu-bapa yang membeli kenderaan untuk anak-anak yang baru memulai alam pekerjaan. Tindakan ini amat memanjakan anak-anak, mereka patut mempelajari kehidupan dengan merasai kesusahan. “Kalau perlu naik bas, naik la bas.. kenapa ibu bapa nak kena fikir sampaikan macam mana anak nak pergi kerja?”
Kedua-dua wanita itu menyatakan bahawa, apa yang mereka dapat pada masa sekarang adalah hasil dari mengharungi kesusahan pada masa dahulu. Ini adalah suatu pengalaman yang tidak dapat dibeli di mana-mana untuk memastikan kita boleh menikmati kehidupan sekarang. Adalah amat merugikan jika peluang untuk mempelajari kesusahan untuk mencari rezeki yang halal kita rompak dari anak-anak kita. Rakan saya bertanya pula, “bagaimana pula tentang simpanan untuk pelajaran, adakah kita perlu untuk menyediakan untuk mereka?” Di dalam hal ini mereka bersetuju pula kerana menyimpan untuk pendidikan anak-anak amat penting kerana kos untuk mendapat pendidikan semakin tinggi. Kita mahukan pendidikan terbaik untuk anak-anak kita dan kita tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada pinjaman atau biasiswa pendidikan sahaja kerana persaingan semakin tinggi. Secara khususnya mereka hanya tidak bersetuju jika anak-anak diberikan rumah untuk mereka diami tetapi bersetuju jika kita menabung untuk pendidikan mereka. Persoalan rakan saya yang diutarakan di dalam kumpulan whatsApp kami ialah adakah salah jika kita mencari harta untuk persediaan anak-anak? Perbincangan rakan-rakan saya akan disambung pada siri ke 5.
BERSAMBUNG SIRI 5