Islam adalah agama yang syumul yang mencakupi semua aspek kehidupan manusia melibatkan hubungan dengan pencipta dan hubungan sesama manusia melalui sistem muamalat Islam. Jika disusuri sejarah perkembangan Islam sejak zaman Nabi Muhammad SAW sehingga kini, kejayaan dakwah Islam sehingga ke seluruh pelusuk bumi ini banyak dipengaruhi oleh sumbangan material yang telah diinfakkan oleh golongan yang kaya yang berjiwa murni dan percaya tentang janji Allah berkenaan balasan bagi yang istiqamah dan banyak menyumbang dari segi harta benda untuk maslahah ummah. Ini menggambarkan bahawa wujudnya hubungan yang penting dan erat di antara golongan yang dikurniakan rezeki dan kebolehan yang banyak oleh Allah yang majoritinya adalah golongan peniaga dan saudagar dalam Islam atau kini dikenali sebagai golongan korporat dengan institusi dalam sistem kewangan sosial Islam.
Institusi kewangan sosial Islam merujuk kepada institusi tradisional dalam Islam berasaskan konsep sadaqah dan infak antara lain seperti institusi zakat, sadaqah, baitulmal dan wakaf. Institusi ini juga melibatkan institusi yang mempromosikan konsep kerjasama dan tolong-menolong di antara dua pihak seperti qard (pinjaman) dan kafalah (jaminan) yang berobjektif untuk membantu masyarakat Islam dari sudut keperluan kebendaan. Apabila negara ini telah dijajah oleh British, antara agenda pihak penjajah adalah memberikan kuasa yang terhad kepada Sultan berkaitan agama Islam meliputi urusan zakat, wakaf dan baitulmal. Walaupun, tindakan penjajah ini ada baiknya namun, didapati institusi terbabit agak sukar untuk memenuhi objektif sebenar penubuhannya dalam Islam apatah lagi kuasa terbabit terhad kepada bidang kuasa negeri sahaja dan berbeza-beza di antara satu sama lain bagi setiap negeri terbabit. Sudah tiba masanya, semua lapisan masyarakat termasuklah Majlis agama setiap negeri, badan dan organisasi korporat dan orang ramai untuk memikirkan dan menyatukan usaha dan tenaga ke arah memperkasakan semua institusi dalam kewangan sosial Islam ini.
Antara usaha yang boleh dilakukan adalah menjalin hubungan yang erat dan padu dengan golongan dan badan korporat bagi tujuan pemerkasaan ini. Tindakan sebegini tidak menghadkan kuasa atau pemilikan bagi mana-mana pihak, malah akan menyuburkan dan memperkasakan lagi institusi tersebut. Hubungan yang erat antara institusi kewangan sosial Islam dengan badan korporat amat penting kerana golongan profesional dalam organisasi korporat terbabit seperti di GLC mampu untuk memperkasakan institusi tersebut melalui pelbagai cara dan kaedah. Ini kerana golongan profesional terbabit telah terlatih dan berpengalaman dalam soal mencari sumber-sumber dana yang baru dan berkebolehan untuk melabur dalam projek-projek yang mampu memberikan pulangan yang kompetitif dan mampan.
Ini amat penting bagi survival semasa bagi semua institusi kewangan sosial Islam terbabit. Usaha ini dianggap satu tindakan untuk mengkomersialkan bukan sahaja pemikiran pemegang amanah institusi tersebut, malah dianggap satu tindakan yang lebih profesional. Kita sedia maklum bahawa dalam mempromosi dan menyuburkan institusi kewangan sosial Islam sama ada institusi zakat, baitulmal dan wakaf, kaedah yang agak tradisional harus diganti dengan metod yang lebih komersial dan korporat bagi menghasilkan pulangan yang lebih baik kepada semua institusi terbabit. Dengan ini, kepercayaan dan kesedaran serta kesanggupan masyarakat Islam untuk terus menyumbang dalam institusi-institusi terbabit akan terus semarak dan meningkat dari tahun ke tahun. Harus diingat, cadangan hubungan yang padu antara organisasi korporat dan institusi kewangan sosial Islam ini bukan bermakna kuasa dan hak asal institusi tersebut akan terhakis, tetapi hak dan kuasa tersebut tetap akan dikekalkan. Cuma, berlaku hubungan yang erat dengan badan dan organisasi korporat untuk mengurus dan melabur dana yang dimiliki.
Lihat contoh yang dekat di negara ini seperti Lembaga Tabung Haji (TH). Objektif penubuhan asalnya untuk membantu orang Islam di negara ini dalam mempersiapkan diri dari segi simpanan bagi menunaikan haji telah berjaya dicapai dan kini menjadi satu institusi pengurus haji yang terbaik di dunia apabila pengurusan simpanan, pelaburan dan dana diurus dan ditadbir oleh golongan korporat yang profesional. Bahkan, dapat dibanggakan apabila TH mampu untuk mencatat pendapatan kasar melebihi RM3 billion bagi tahun kewangan 2016. Ini berjaya dilakukan apabila sentuhan profesional dan golongan korporat yang berkebolehan dan berkemampuan dalam mentadbir urus dana dan pelaburan dalam dan luar negara di samping mampu mengawal risiko perniagaan dan pasaran semasa dengan cekap.
Begitu juga dengan usaha wakaf korporat yang telah dipelopori oleh JCorp dan dikendalikan melalui Waqaf An-Nur Corporation Berhad (WANCorp.) Program wakaf korporat ini telah berjaya menyutip dana melebihi RM3 juta pada 2010 iaitu selepas beberapa tahun program wakaf ini diperkenalkan. Pelbagai program kebajikan untuk masyarakat Islam di negara ini berjaya dihasilkan melalui urus tadbir yang cekap pihak profesional dan golongan korporat dalam organisasi ini. Program sebegini berjaya dilakukan selepas wujudnya hubungan yang erat dan perjanjian persefahaman yang telah dilakukan di antara JCorp dengan Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) sejak 2009. Kejayaan melalui hubungan yang padu ini telah memberikan banyak manfaat kepada masyarakat Islam meliputi rawatan melalui Hospital dan Klinik Waqaf An-Nur, pembiayaan untuk pengurusan masjid, sekolah agama dan rumah kebajikan anak yatim, sumbangan pendidikan kepada pelajar dalam dan luar negara, program pinjaman kebajikan (qardul hasan) kepada usahawan, penubuhan Briged Waqaf atau pertubuhan sukarela dan lain-lain sumbangan yang tidak terkira banyaknya.
Begitu juga bentuk kerjasama dan hubungan erat antara organisasi korporat dan institusi kewangan sosial Islam yang sedang rancak dilaksanakan di antara Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) dengan Uda Land (North) Sdn. Bhd. bagi pembangunan tanah wakaf Seetee Aisah. Projek pembangunan tanah wakaf di Seberang Jaya ini melibatkan keluasan tanah 9.86 ekar bagi pembinaan 76 unit rumah teres 2 tingkat dan 9 unit kedai 3 tingkat. Projek ini apabila berjaya dibangunkan sepenuhnya mampu memberikan manfaat kepada penduduk setempat dari segi permintaan kepada perumahan untuk kediaman dan juga hasil sewaan kedai kepada MAINPPP. Ini antara contoh yang sempat disebutkan secara ringkas dalam rungan yang terhad ini. Namun, terdapat banyak lagi bentuk kerjasama yang erat dan padu boleh diusahakan oleh semua institusi kewangan sosial Islam dengan pihak korporat bagi memperolehi manfaat dan hasil yang lebih besar dalam usaha untuk menyemarakkan lagi syiar Islam melalui institusi terbabit. Gabungan di antara institusi kewangan sosial Islam dan perniagaan dan korporat amat diperlukan dan ditekankan dalam Islam sebagaimana galakan melalui Hadith Nabi yang bermaksud: “Peniaga yang benar dan amanah (akan ditempatkan) bersama dengan para nabi, siddiqin dan shuhada (di syurga)” (Hadith riwayat Tirmizi).
Berdasarkan seruan dan galakan dalam hadith ini maka, peranan dan sumbangan golongan peniaga dan korporat amat penting dalam menjayakan agenda dan objektif institusi kewangan sosial Islam sama ada bagi zakat, baitulmal dan wakaf. Kebolehan dan kepakaran golongan peniaga dan korporat ini amat diperlukan bagi menjayakan institusi dalam kewangan sosial Islam dan seterusnya meningkatkan keyakinan masyarakat Islam di negara ini untuk terus turut serta menyumbang sama ada dari segi wang ringgit, hartanah, idea, tenaga dan kepakaran untuk melonjakkan kejayaan yang lebih besar pada masa hadapan.
Ruang dan peluang yang terbuka luas yang dimiliki oleh setiap orang Islam di negara ini sama ada dalam bentuk harta kekayaan, ilmu, kepakaran profesional dan lain-lain harus digembeleng bersama bagi memastikan institusi kewangan sosial Islam dapat diurus dengan lebih cekap dan mendatangkan hasil yang berlipat ganda kepada semua pihak. Dengan ini, kerancakan ekonomi dan manfaat yang lebih menyeluruh kepada umat Islam dapat disemarakkan dari masa ke semasa.