Dr Siti Suriani Othman
Dr Siti Suriani OthmanPensyarah Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan

Tidak dinafikan, perbincangan tentang pendidikan di Malaysia, antaranya tidak lari daripada isu peperiksaan, kebolehpasaran graduan dan kandungan serta kesesuaian silibus. Baru-baru ini, pengumuman dan pelaksanaan Rancangan Pendidikan Negara (RPN) serta Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) memberi signal penting kepada kita bahawa pendidikan di negara ini harus dinilai secara menyeluruh merangkumi pendidikan rendah, menengah hingga ke pengajian tinggi. Walaupun para bijak pandai melihat keperluan ini, namun ada kala kita tergelincir dan dari segi praktisnya, menilai seolah-olah pendidikan di peringkat sekolah dan universiti adalah berbeza dan tidak berkesinambungan.

Dengan wujudnya RPN dan RPTM, kita sebenarnya berpeluang melihat kesinambungan ini dengan jelas dan membantu mereka yang memahaminya secara berasingan turut melihat dengan lebih tersusun. RPN membina asas dalam pendidikan, merangkumi literasi, numerasi, pembentukan sahsidah dan identiti sebagai warganegara. Manakala RPTM pula menentukan arah seseorang pelajar di peringkat pengajian yang lebih tinggi. RPN membentuk seorang insan yang tahu membaca dunia secara umum, RPTM membantu insan mentafsir dan seterusnya mengubah dunia dengan pengetahuan dan kemahiran peringkat tinggi yang dimilikinya.

Tidak keterlaluan jika universiti, yang berfungsi seperti ini akan melahirkan graduan yang bukan hanya mengisi kekosongan kerja dalam industri tetapi membawa kepada fungsi intelektual dan moral yang lebih luas. Universiti diangkat sebagai pusat ilmu, pemikiran kritikal dan wacana awam yang menjadi rujukan umum yang dihormati dan mempunyai integriti yang tersendiri.

Ini tidaklah mengatakan bahawa universiti hari ini tidak berintegriti dan menghasilkan graduan hanya untuk bekerja, namun, kita maklum bahawa isu isu yang sering kali didebatkan tidak lari daripada isu integriti, kurang empati dan kegagalan kepemimpinan. Maka ini dikaitkan dengan persoalan asas iaitu adakah jumlah graduan yang menjadi pertimbangan atau kualiti graduan yang dihasilkan menerusi sistem pendidikan kita. Di sinilah, titik bertemuan antara RPN dan RPTM menjadi amat penting iaitu memastikan lahirnya murid yang seimbang di peringkat awal pendidikan dan akhirnya lahir sebagai graduan yang berfikiran kritis, beretika dan bertanggung jawab sosial. Tanpa kesinambungan ini, pendidikan hanya akan melahirkan graduan yang berjaya di atas kertas namun gagal membentuk watak bangsa.

Dalam ruang yang tersedia ini, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menampilkan satu peranan yang signifikan dalam kerangka RPTM. Model integrasi ilmu naqli dan aqli yang menjadi teras USIM adalah sejajar dengan aspirasi RPTM untuk mengimbangi kepakaran profesional dengan nilai dan etika. Pendekatan ini relevan bukan sahaja kepada mahasiswa Muslim, tetapi kepada gagasan pendidikan tinggi seluruhnya yang berteraskan kemanusiaan sejagat.

USIM boleh dilihat sebagai contoh bagaimana universiti berfungsi bukan sekadar melatih profesional seperti doktor, peguam, komunikator atau saintis, tetapi membentuk profesional yang beretika menerusi agama. Dalam dunia yang semakin kompleks, kecekapan tanpa nilai bukanlah kekuatan, sebaliknya risiko yang boleh membawa ancaman. RPTM mengiktiraf hakikat ini apabila menekankan keperluan graduan yang mempunyai daya fikir, integriti dan kesedaran sosial.

Lebih penting, peranan universiti dalam RPTM bukan terhad kepada bilik kuliah. Universiti digalakkan menjadi rakan strategik negara dalam membentuk wacana awam dan dasar. Dalam hal ini, USIM mempunyai potensi besar sebagai jambatan antara ilmu, agama dan realiti masyarakat majmuk. Kepakaran dalam bidang syariah, komunikasi, sains sosial dan kesihatan membolehkan universiti menyumbang kepada dasar awam yang lebih beretika dan berperikemanusiaan.

Jika RPN membina asas perpaduan dan nilai di sekolah, RPTM menuntut universiti mempertahankan nilai tersebut ketika masyarakat berdepan tekanan globalisasi, teknologi dan politik identiti. Universiti yang senyap daripada isu masyarakat sebenarnya sedang mengkhianati mandat pendidikannya.

Akhirnya, kejayaan RPN dan RPTM tidak boleh diukur melalui laporan prestasi atau kedudukan ranking semata-mata. Ukuran sebenar terletak pada sama ada sistem pendidikan kita berjaya melahirkan warganegara yang berilmu, berani berfikir, berempati dan berintegriti. Dalam hal ini, universiti termasuk USIM, memikul tanggungjawab besar sebagai penjaga nurani bangsa.

Membaca RPN tanpa RPTM menjadikan pendidikan terhenti di peringkat asas. Membaca RPTM tanpa RPN pula menjadikan universiti terputus daripada akar masyarakat. Kedua-duanya hanya bermakna apabila dibaca bersama, dilaksanakan dengan jujur, dan dinilai melalui manusia yang dilahirkan bukan sekadar angka yang dilaporkan.