Dr. Nadiah Ramlan
Dr. Nadiah RamlanPensyarah, Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah

Adab dan nilai-nilai murni sangat penting untuk dipraktikkan dalam kehidupan seharian kita. Ini bagi menjamin kehidupan yang harmoni dan kesejahteraan hidup bermasyarakat. Adab perlu dilatih sejak dari kecil lagi. Anak-anak kecil ini ibarat kain putih yang mana kedua ibubapa yang mencorakkan kain tersebut.

Kehidupan harmoni sangat diperlukan bagi menjamin kesihatan tubuh badan malah yang paling penting ialah kesihatan mental. Dengan mempratikkan adab dan budaya masyarakat Islam, sesebuah keluarga itu dapat mencorakkan kehidupan mereka agar lebih istiqamah dalam menjalankan aktiviti dan juga tugasan rasmi mereka.

Islam sangat menitikberatkan nilai-nilai murni serta adab sopan sesama manusia terutamanya. Kita digalakkan untuk memuliakan tetamu serta bergaul mesra dengan masyarakat berbilang kaum. Kehidupan ini memerlukan tunjang utama bagi melestarikan peranan setiap individu. Dalam erti kata lain, untuk mencapai kehidupan yang harmoni, masyarakat perlu cakna dan sentiasa mengambil berat dalam asper penerapan nilai-nilai murni pada anak-anak generasi kini.

Seperti sabda Rasulullah:

قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: أحب عباد الله إلى الله أحسنهم خلقًا

Artinya: “Rasulullah saw bersada: sesungguhnya hamba yang paling dicintai Allah adalah yang paling baik akhlaknya”. (HR. Bukhari)

Rasulullah bersabda juga:

إِنَّمَا بُعِثْتُ لِأُتَمِّمَ صَالِحَ الْأَخْلَاقِ

Maksudnya: Sesungguhnya aku hanyalah diutus untuk menyempurnakan akhlak. (Riwayat Bukhari)

Daripada dua hadis diatas, penulis dapat merangkumkan bahawa asas kepada pembentukan orang Islam yang baik adalah dengan berakhlak mulia. Sewajarnya, akhlak itu juga haruslah dipupuk bersesuaian dengan apa yang diajar dan dicontohi oleh Rasulullah sendiri. Ini kerana Rasullullah s.a.w merupakan contoh terbaik bagi umat Islam.

Hal ini juga disebut dalam surah Al-Qalam ayat 4 :

وَاِنَّكَ لَعَلٰى خُلُقٍ عَظِيْمٍ

Bermaksud: “Sesungguhnya engkau (Muhammad) berada di atas akhlak yang agung.”

Justeru itu, kita harus membaca dan mentadabbur ayat-ayat al-Quran serta mengamalkan Sunnah untuk mencontohi akhlak seperti baginda Rasulullah s.a.w. Berikut penulis datangkan beberapa Contoh penerapan Adab serta nilai murni dalam diri anak-anak:

  1. Tunduk semasa jalan di hadapan orang yang lebih tua
  2. Memberi salam sebelum masuk ke rumah orang
  3. Bertutur dan bercakap dengan sopan dan lemah-lembut
  4. Tidak meninggikan suara semasa berbual atau berkomunikasi
  5. Sentiasa berbaik sangka
  6. Tidak mengumpat dan mengadu domba
  7. Mengajar untuk ucap “terima kasih” atas apa jua pemberian orang lain kepada anak-anak kita

Selain itu, umat Islam boleh menjadikan Hadis sebagai pedoman hidup kita yang kedua setelah Al-Quran. Hadis juga merupakan teladan baik yang telah diucapkan dan dicontohkan oleh Rasulullah s.a.w untuk kita sebagai umat Islam jadikan panduan dalam menjalani kehidupan seharian.

Seperti hadis di bawah yang meyarankan kita untuk berdiam dari berkata-kata yang tidak baik. Dengan itu, kehidupan akan lebih tenang dan umpatan, cacian, fitnah serta mengadu-domba dapat dielakkan.

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم قَالَ: “مَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاَللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ فَلْيَقُلْ خَيْرًا أَوْ لِيَصْمُتْ، وَمَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاَللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ فَلْيُكْرِمْ جَارَهُ، وَمَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاَللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ فَلْيُكْرِمْ ضَيْفَهُ”.

Daripada Abu Hurairah R.A., bahawa Rasulullah S.A.W telah bersabda: “Barangsiapa yang beriman dengan Allah S.W.T dan hari akhirat, maka hendaklah dia berkata baik atau dia diam. Barangsiapa yang beriman dengan Allah S.W.T dan hari akhirat, maka hendaklah dia memuliakan jiran tetangganya. Barangsiapa yang beriman dengan Allah S.W.T dan hari akhirat, maka hendaklah dia memuliakan tetamunya”.
(Riwayat al-Bukhari & Muslim)

Dari sisi lain pula, kepelbagaian dan kepesatan teknologi yang semakin berkembang sedikit sebanyak mempengaruhi sikap dan akhlak anak-anak zaman kini. Sewajarnya, teknologi ini dimanfaatkan sebaiknya untuk tujuan pembangunan diri, perkembangan ilmu, alat bantuan mengajar dan sebagainya. Justeru itu, ibubapa dan pihak tertentu perlu mengoptimumkan peranan dan palaksanaan bagi manfaat semua.

Perkembangan teknologi moden seperti tablet, telefon pintar, internet dan gajet merupakan antara contoh alat komunikasi yang memberi impak kepada kanak-kanak khususnya. Oleh yang demikian,  ibu bapa harus mengawal anak mereka daripada terdedah dengan kemudahan alat teknologi yang berlebihan. Hal ini kerana penggunaan teknologi moden ini bukan sahaja diperkenalkan oleh ibu bapa mereka malah penggunaan ini sudah berada di sekeliling kanak-kanak tanpa disedari oleh ibu bapa.

Ini meyebabkan perubahan gaya hidup kanak-kanak masa kini telah disebabkan pengaruh teknologi moden dalam kehidupan mereka. Walaubagaimanapuntidak tidak dapat dinafikan bahawa penggunaan teknologi seperti internet telah membawa kepada persekitaran sosial yang sangat mudah dan pantas. Oleh yang demikian, ibubapalah yang berperanan penting dalam menentukan pembentukan peribadi dan akhlak anak-anak generasi masa kini. Sentiasa amalkan gaya hidup berlandaskan al-Quran dan Sunnah, kelah kehidupan harmoni pasti dapat dicapai.

Kini, kita dapat berkomunikasi, berhubung dan mencari maklumat hanya sekelip mata sahaja. Dengan kaedah baharu ini, ibu bapa merasakan bahawa teknologi moden ini dapat memberi manfaat dan kemudahan kepada anak-anak mereka.