Peperiksaan merupakan cabaran yang signifikan dalam hidup mahasiswa dan seringkali menjadi sumber stress dan tekanan. Sebagai mahasiswa, kita perlu bersedia dengan beberapa strategi penting untuk membantu mengawal emosi dan fizikal. Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) beranggapan bahawa perlunya perancangan 5S bagi menghadapi peperiksaan akhir yang bakal menjelang bermula 29 Januari 2024.
- Siap awal atau persiapan awal
Mahasiswa USIM sangat disarankan untuk membuat persediaan dengan mengulangkaji lebih awal supaya lebih mudah dan efisien untuk mendapatkan rujukan dan maklumat yang cukup untuk dibawa ke dalam peperiksaan. Hal ini juga membantu dalam mendisiplinkan diri mahasiswa dengan pengurusan waktu bagi mengelakkan sebarang tekanan menghadapi peperiksaan.
- Pengurusan Stress
Strategi yang kedua adalah urus stress. Mahasiswa perlu mengambil cakna tentang kesejahteraan fizikal dan mental. Hal ini adalah kerana pengukuhan dari segi rohani dan jasmani memainkan peranan penting dalam keupayaan seseorang untuk menghadapi peperiksaan. Pastikan mendapat tidur yang cukup dan melakukan aktiviti rekreasi untuk mengurangkan tekanan.
- Selalu berdoa
Berdoa merupakan amalan yang mendalam dan memberi ketenangan kepada pelajar. Dalam detik-detik tegang menjelang ujian, berdoa menjadi sumber kekuatan spiritual yang dapat memberikan ketenangan dan keyakinan. Memohon petunjuk daripada Yang Maha Esa agar diberikan kebijaksanaan, kefahaman, dan ketenangan hati. Dalam berdoa, mahasiswa menyelusuri sepanjang perjalanan pembelajaran mereka, memohon perlindungan, kekuatan, dan keberkatan. Mahasiswa juga dapat membangun ikatan spiritual yang kuat dan meyakini bahawa usaha serta doa mereka akan memberikan hasil yang terbaik dalam peperiksaan.
- Sihat
Menjaga kesihatan secara holistik adalah kunci keberjayaan dalam menghadapi peperiksaan. Selain daripada menumpukan kepada persediaan akademik, penting juga untuk memberi tumpuan kepada kesihatan fizikal dan mental. Menyediakan masa untuk bersenam, mengamalkan pemakanan seimbang, dan menjaga tidur yang cukup adalah aspek penting dalam memastikan tubuh dan minda berada dalam keadaan optimum. Dengan menjaga kesihatan secara menyeluruh, mahasiswa dapat meningkatkan daya tumpuan, daya ingatan, dan kecekapan mental, membolehkan mahasiswa menghadapi peperiksaan dengan keyakinan dan keseimbangan yang diperlukan untuk mencapai prestasi yang cemerlang.
- Sahabat
Menjadikan sahabat sebagai rujukan ketika menghadapi peperiksaan adalah satu pendekatan yang bijak dan membina. Mereka tidak hanya dapat memberikan pandangan yang berbeza dan membantu menjelaskan konsep-konsep yang sukar difahami, tetapi juga menjadi ahli musyawarah untuk soalan-soalan latihan. Membentuk satu kumpulan belajar bersama sahabat membolehkan mahasiswa berkongsi strategi pembelajaran yang berkesan dan mencipta satu atmosfera positif.