Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran kita panjatkan kepada Illahi kerana dikesempatan ini juga, kita masih dikurniakan nikmat untuk hidup sebagai Muslim yang beriman kepada Allah dan Rasulnya. Sesungguhnya, keimanan ini telah meletakkan kita dalam kalangan sebaik-baik ummah.
قَالَتْ إِحْدَاهُمَا يَا أَبَتِ اسْتَأْجِرْهُ ۖ إِنَّ خَيْرَ مَنِ اسْتَأْجَرْتَ الْقَوِيُّ الْأَمِينُ
Salah seorang di antara perempuan yang berdua itu berkata: “Wahai ayah, ambilah dia memjadi orang upahan (mengembala kambing kita), sesungguhnya sebaik-baik orang yang ayah ambil bekerja ialah orang yang kuat, lagi amanah”.
PENDAHULUAN
Nabi Allah Musa merupakan ikon yang tepat bagi menggambarkan aspirasi mahasiswa. Sosok yang diangkat al-Quran sebagai watak pemimpin yang karismatik, pendakwah yang berhikmah, ilmuan yang jujur dan punya peribadi penyantun di sebalik keperkasaan baginda AS.
Begitulah kehendak Qowiyyul Amin yang disifatkan ke atas Nabi Musa AS, dan sifat yang sama inilah yang menjadi landasan pergerakan Majlis Perwakilan Pelajar, Universiti Sains Islam Malaysia (MPP USIM).
Kerana itu, keperibadian Qowiyyul Amin yang terpasak dengan semangat Fityah seperti mana yang digambarkan sebagai pemuda yang siap menggadaikan usia muda demi misi ummah menyambut seruan Ilahi. Ditambah dengan perletakkan matlamat membina khayra ummah yang menyuruh kepada makruf, menegah yang mungkar dan beriman kepada Allah yang Satu merupakan suatu keperibadian generasi yang diperlukan ummat.
Memikirkan beban tangungjawab yang dipikul oleh Mahasiswa hari ini; tanggungjawab kita, modul tarbiyyah al-Imam asy-Syahid Hassan al-Banna sangat menginspirasikan. Kita mengenang bagaimana beliau sentiasa membangun jiwa ubudiyyah dan dakwah dalam kalangan ahli gerakan beliau dengan menekankan pembangunan berdasarkan potensi individu.
Daripada didikan beliau hari ini kita bersama dengan tokoh-tokoh yang bukan calang-calang antaranya tokoh pemikir dan ulama global seperti Sheikh Yusuf al-Qaradhawi dan tokoh usahawan yang menghimpun kekayaan semata-mata demi perjuangan, itulah Youssef Nada, yang mana ketokohan beliau dirakamkan dalam buku ‘Disebalik Ikhwanul Muslimin’ oleh Douglas Thompson.
Yakin dengan anugerah bakat yang ada pada setiap Mahasiswa USIM dalam pelbagai bidang, agenda MPP dalam membentuk generasi Qowiyyul Amin berpijak diatas satu dasar utama yang menjadi motto kita bagi setahun mendatang iaitu ‘Bersama Memberdaya Potensi’.
Potensi yang akan kita berdayakan ditunjangi oleh empat domain utama; (1) Kepimpinan dalam kebersamaan, (2) Kelestarian Biah Solehah, (3) Mengangkat intelektual mahasiswa, (4) Memartabatkan bidang kesukanan.
KEPIMPINAN DALAM KEBERSAMAAN
Domain pertama ialah kepimpinan dalam kebersamaan. USIM sememangnya dikenali sebagai sebuah kampus yang melahirkan watak pemimpin yang berkaliber seperti Tan Sri Syukor, Prof. Dato. Dr. Asmah, Razif Fuad, Imran Razalle dan pendahulu-pendahulu kita. Besarlah harapan MPP yang dilantik hari ini yang sewajarnya merupakan pimpinan Mahasiswa USIM, pimpinan masyarakat disekelilingnya dan pimpinan yang menjadi wajah USIM atau the face of USIM ketika menapak keluar daripada kawasan kampus untuk menjadi model ikutan rakan-rakan USIM dan warganya dalam hal ehwal kepimpinan.
Firman Allah SWT:
إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالْإِحْسَانِ وَإِيتَاءِ ذِي الْقُرْبَىٰ وَيَنْهَىٰ عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ ۚ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُون
Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil, dan berbuat kebaikan, serta memberi bantuan kepada kaum kerabat; dan melarang daripada melakukan perbuatan-perbuatan yang keji dan mungkar serta kezaliman. Ia mengajar kamu (dengan suruhan dan laranganNya ini), supaya kamu mengambil peringatan mematuhiNya.
Kepimpinan yang ingin kita tonjolkan dan dijadikan tauladan ialah kepimpinan yang meletakkan sesuatu pada tempatnya.
Kita juga mahu meneruskan legasi kepimpinan yang terdahulu dan dalam masa yang sama meraikan pembaikan yang diperlukan dan dicadangkan oleh rakan-rakan. Oleh yang demikian, dalam ketegasan berprinsip demi mencapai objektif kepimpinan tahun ini, MPP menyatakan keterbukaannya dalam meraikan sebarang idea dan saranan warga USIM seluruhnya. Langkah ini langkah kita bersama, Bersama memimpin perubahan, bukan slogan semata-mata slogan. Pimpinan yang lalu membawa panji perjuangan Mahasiswa dan Kampus USIM, dan kini panji itu diamanahkan pula kepada kita Mahasiswa USIM 2016/2017 yang dikepalai oleh MPP sesi ini.
Justeru, dekatilah kami, bersembang-sembanglah bersama kami sepertimana akan kami dekati anda dan berbual-bual dengan anda. Kerana kepimpinan ini kepimpinan bersama dan potensi kepimpinan anda perlu kita berdayakan demi membangun generasi Qowiyyul Amin yang dibutuhkan masysarakat.
LESTARIKAN BIAH SOLEHAH
Domain yang kedua ialah kelestarian biah solehah. USIM merupakan kampus yang komited dalam mewujudkan suasana pembelajaran dan kehidupan islami. Dalam kesibukan kita menyempurnakan amanah sebagai khalifah, pembangunan ruhiyyah juga mendapat tempat perhatian yang sama. Allah berfirman:
إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ فَأَصْلِحُوا بَيْنَ أَخَوَيْكُمْ ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ
“Sesungguhnya orang-orang mukmin adalah bersaudara, maka perbaikkanlah hubungan dengan dua saudara kamu, bertakwalah kepada Allah, semoga kamu beroleh rahmat.”
Yang jelas menyatakan bahawa hubungan persaudaraan antara kita ini berasaskan kepada takwa. Jika berbalik kepada ciri-ciri kayra ummah yang kita sebutkan di awal tadi, tukminuuna billah mencari salah satu ciri utamanya.
Kita bercita-cita untuk kembali kepada kepada masyarakat sebagai solusi kepada permasalahan ummat. Dan tidak lain dan tidak bukan solusi yang kita bawakan ialah solusi yang menjamin kejayaan di dunia dan di akhirat. Kita mahu tergolong dalam firman Allah:
وَابْتَغِ فِيمَا آتَاكَ اللَّهُ الدَّارَ الْآخِرَةَ ۖ وَلَا تَنسَ نَصِيبَكَ مِنَ الدُّنْيَا ۖ
Dan, carilah pada apa yang telah dianugerahkan Allah keadamu (kebahagiaan) negeri akhirat, dan janganlah kamu melupakan bahagianmu dari (kenikmatan) duniawi”
Dengan modul Integrasi Ilmu Aqli dan Naqli sebagai rujukan, kita akan bekerja keras dan bersama dalam mewujudkan biah solehah dan melahirkan mahasiswa pendakwah penerus penyampai risalah nubuwwah.
PENGANGKATAN INTELEKTUALISME
Domain yang ketiga ialah pembudayaan ilmu. Sejujurnya inilah perkara yang secara berterusan dan sangat kuat keinginan dalam kalangan calon-calon pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar cuba untuk sampaikan kepada Mahasiswa.
Walaubagaimanapun, dalam keghairahan mahu melansungkan agenda ini kita harus ingat bahawa ‘budaya’ bukanlah sesuatu yang boleh kita capai dalam masa setahun. Dengan melaksanakan dua-tiga program tidak menjamin sesuatu idea boleh diterima sebagai budaya.
Sepertimana kita ingin mencapai ‘budaya solehah’ diawal tadi, budaya ilmu hanya akan kita raih dengan mewujudkan kesinambungan kepimpinan.
Sebagai langkah awal tokoh sarjana USIM seperti Prof. Madya Dr. Zulkifli Hasan dalam bidang Undang-undang, Syariah dan Perbankan, Prof. Dr. Norita Md Norwawi dalam bidang Sains dan Inovasi, Prof. Madya Dr. Rumaizuddin dalam bidang Penulisan dan Dakwah dan Dr. Hazmi dalam bidang Undang-undang Antarabangsa, perlu dijulang dan diangkat. Dijulang dan diangkat sebagai inspirasi buat rakan-rakan.
Dijulang dan diangkat sebagai ikon intelektualisme USIM, masyarakat dan negara. Dan ia bermula dengan langkah kita bersama, memimpin perubahan bersama-sama dan bersama memberdaya potensi.
WARGA SIHAT BERSUKAN
Domain yang keempat ialah memartabatkan kesukanan. Tahun ini kita mencatatkan rekod sukan yang membanggakan apabila adanya wakil usim dalam Kejohanan Sukan antara Universiti. Bukan pingat yang kita dambakan, yang kita mahu ialah minat dan pensaluran bakat anda.
Teman-teman, kami di peringkat MPP sangat berbangga apabila melihat anda senang dan girang di lapangan sukan. Kerana itu teruskan usaha, kuatkan daya. Kalau tidak tahun ini, insyallah, tahun mendatang USIM bakal menempa Juara.
Memperkasakan bidang sukan bukan suatu yang main-main. Kita sangat berkeinginan melihat rakan-rakan yang berbakat dalam sukan menyumbang bakti kepada USIM dan warganya dalam bidang tersebt sekiranya disitu potensinya. Bersama potensi itu akan kita berdayakan.
Memberdaya potensi sukan tidak terhenti sekadar menempa juara bahkan kita mahu ia menjadi pemangkin kepada rakan-rakan yang lain untuk turut bersukan dan beriadah. Akhirnya nanti, USIM dan warganya dapat hidup dalam suasana budaya ilmu yang bebas stress dan tekanan. Persekitaran yang kita mahukan ialah persekitaran pembelajaraan yang sihat wal ‘afiyaat.
KESIMPULAN
Ucapan dasar kali ini cuba memberikan keyakinan kepada semua bahawa MPP 16/17 merupakan MPP yang berdiri diatas legasi dan jasa yang ditinggalkan oleh kepimpinan yang terdahulu.
Kami berharap agar kepimpinan kali ini mampu meninggalkan jejak positif untuk disambung oleh kepimpinan seterusnya. Walauapapun, akhirnya kita mengikuti jejak langkah seorang insan yang sama, itulah jejak langkah Baginda Muhammad SAW.
Doakan kami kuat untuk memimpin, doakan agar kita mampu bergerak bersama ke satu arah, doakan agar tahun ini lebih banyak potensi yang boleh kita berdayakan. Doakan agar Allah mengurniakan yang terbaik untuk kita semua.
Wabillahi Taufiq Wal Hidayah. Wassalamualaikum WBT.
“BERSAMA MEMBERDAYA POTENSI”