KUALA LUMPUR  – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) bersama Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) mencipta satu lagi pencapaian bermakna dalam agenda keterangkuman negara melalui pelancaran Garis Panduan Sokongan Pekerjaan yang pertama bagi Kumpulan Neurodivergen, hasil gabungan integrasi ilmu, penyelidikan dan inovasi sosial antara kedua-dua institusi.

Majlis pelancaran yang berlangsung di InterContinental Kuala Lumpur itu disempurnakan oleh YB Khairul Firdaus Akbar Khan, Timbalan Menteri Sumber Manusia, dengan kehadiran Prof. Ts. Dr. Mohd Ikmar Nizam Hj. Mohamad Isa, Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi USIM.

Pembangunan garis panduan ini digerakkan melalui kerjasama strategik PERKESO dan USIM menerusi kepakaran penyelidik daripada Pusat Penyelidikan Ibnu Ummi Maktum (UMMI) bagi memperkukuh sokongan pekerjaan yang lebih inklusif dan mesra neurodivergen di Malaysia.

Inisiatif ini mencerminkan komitmen bersama dalam memastikan individu neurodivergen bukan sahaja mendapat peluang pekerjaan yang lebih adil, malah turut disokong melalui persekitaran kerja yang memahami kepelbagaian keupayaan, gaya komunikasi dan keperluan sokongan mereka.

Majlis turut dimulakan dengan sesi forum bertajuk “Driving an Inclusive Employment Ecosystem for Neurodivergent Talent” yang menampilkan Prof. Madya Dr. Nurul Asiah Fasehah Mohamad, ketua penyelidik bagi pembangunan garis panduan tersebut. Forum berkenaan membincangkan keperluan membina ekosistem pekerjaan yang lebih terbuka, responsif dan mampan bagi memperkasa potensi bakat neurodivergen dalam dunia pekerjaan masa kini.

Penghasilan garis panduan ini selari dengan falsafah Integrasi Ilmu Naqli dan Aqli yang menekankan bahawa ilmu, penyelidikan dan inovasi perlu diterjemahkan kepada penyelesaian sebenar untuk masyarakat. Melalui penyelidikan berasaskan keperluan komuniti, USIM berusaha memastikan golongan berkeperluan khas termasuk komuniti neurodivergen diberi ruang yang lebih bermakna untuk menyumbang dalam pembangunan negara.

Selain pelancaran garis panduan, UMMI USIM turut mengetengahkan pelbagai produk penyelidikan dan inovasi untuk komuniti Orang Kurang Upaya (OKU) melalui reruai pameran khas. Antara produk yang dipamerkan termasuk eBraille, Al-Quran Braille, buku panduan ibadah haji dan umrah versi Braille serta pengenalan kepada Kod Tangan Quran bagi komuniti pekak.

Sementara itu, Prof. Madya Dr. Nurul Asiah Fasehah Mohamad selaku ketua penyelidik berkata, garis panduan ini dijangka menjadi dokumen rujukan penting kepada majikan, organisasi, agensi kerajaan, institusi pendidikan tinggi dan masyarakat dalam merangka dasar serta amalan sokongan pekerjaan yang lebih menyeluruh. Ia turut membuka ruang kepada pengiktirafan lebih luas terhadap bakat neurodivergen sebagai sebahagian daripada tenaga kerja negara yang bernilai dan berpotensi tinggi.

Majlis tersebut turut menghimpunkan wakil kementerian, institusi pendidikan tinggi, majikan, pertubuhan bukan kerajaan, penyelidik dan komuniti yang terlibat secara langsung dalam agenda keterangkuman sosial dan pekerjaan inklusif di Malaysia.