NILAI – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dengan kerjasama TV AlHijrah memperkukuh agenda pembangunan bakat dakwah dan media Islam melalui penganjuran Majlis Perasmian Buku Modul dan Kursus Akademi Seni Media Islam (ASMI) di Dewan Tuanku Canselor, USIM, hari ini.
Majlis perasmian disempurnakan oleh YB Senator Dr. Zulkifli Hasan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama). Turut berkenan untuk berangkat menyerikan majlis ialah YAM Tunku Zain Al-‘Abidin ibni Tuanku Muhriz, Pro-Canselor USIM.
Program ini menghimpunkan kira-kira 100 peserta terdiri daripada wakil universiti, industri media, pengamal dakwah, pembuat kandungan dan agensi berkaitan sebagai usaha membina ekosistem media Islam yang lebih profesional, kreatif, beretika dan berdaya saing.
Kerjasama strategik antara USIM dan TV AlHijrah ini dilihat sebagai langkah penting dalam melahirkan generasi baharu pendakwah media yang mampu menyampaikan mesej Islam secara lebih segar, hikmah dan berkesan kepada khalayak tempatan serta global.
Menurut YB Senator Dr. Zulkifli Hasan, media Islam pada hari ini tidak lagi boleh sekadar berfungsi sebagai alternatif, sebaliknya perlu tampil sebagai rujukan utama yang membawa naratif kebenaran, keadilan dan kesejahteraan.
“Media Islam bukan hanya perlu patuh syariah dari sudut hukum, tetapi juga memiliki jiwa syariah yang memberi kesan positif kepada jiwa dan pemikiran masyarakat,” katanya.
Beliau turut menyifatkan ASMI sebagai satu inisiatif berpotensi besar untuk menjadi pusat kecemerlangan penyiaran Islam di rantau ini, khususnya dalam melahirkan pengamal media Islam yang berjiwa besar, berilmu luas dan berakhlak mulia.
Sementara itu, YAM Tunku Zain Al-‘Abidin ibni Tuanku Muhriz menegaskan bahawa dunia Islam hari ini memerlukan pendakwah dan pengamal media yang bukan sahaja petah berbicara, tetapi juga celik media, memahami audiens, menguasai platform digital serta teguh dengan prinsip Islam.
“Setiap kata adalah amanah, setiap gambar membawa makna, dan setiap mesej meninggalkan kesan. Kekuatan bukan pada tingginya suara, tetapi pada kejelasan visi, keindahan adab dan keteguhan dalam kebenaran,” titah baginda.
YAM Tunku Zain turut menzahirkan harapan agar modul ini menjadi titik tolak kepada pembinaan generasi baharu pendakwah media yang berwibawa, berhemah dan bersedia mendepani cabaran zaman.
Kemuncak majlis menyaksikan pelancaran buku bertajuk Modul Latihan Akademi Seni Media Islam: Dakwah, Media dan Seni – Pendekatan Bersepadu Berlandaskan Islam, sebuah modul latihan berstruktur yang menghimpunkan panduan ilmiah dan praktikal berkaitan dakwah, komunikasi, penyiaran Islam, pengurusan media serta strategi penyampaian mesej Islam kepada pelbagai kelompok masyarakat.
Modul ini merangkumi beberapa bab utama termasuk Komunikasi Berlandaskan Islam, Strategi Dakwah Melalui Media Massa, Konsep Pengurusan Penyiaran Islam serta Modul Latihan Akademi Seni Media Islam. Antara modul latihan yang diketengahkan ialah Komunikasi dan Dakwah Melalui Media Massa, Penerbitan Kandungan Media Islam, Pengurusan Media Islam, Strategi Penyampaian Dakwah untuk Pelbagai Golongan, Penggunaan Media Sosial dalam Dakwah, Etika dan Undang-undang dalam Penyiaran Islam, Pengukuran Keberkesanan Dakwah Melalui Media serta Menangani Krisis Media.
Buku ini turut memberi penekanan terhadap prinsip komunikasi Islam, adab dan hikmah, undang-undang komunikasi, cabaran dakwah digital, Maqasid Syariah dalam penyiaran serta kepentingan menghasilkan kandungan media Islam yang profesional, menarik dan berintegriti.
Sepanjang program berlangsung, peserta mengikuti beberapa sesi pembentangan modul oleh barisan pengamal media TV AlHijrah yang memberi tumpuan kepada komunikasi dakwah, pengurusan media Islam, penerbitan kandungan, strategi penyampaian dakwah kepada pelbagai golongan serta pengurusan krisis media. Pengisian ini memberi pendedahan praktikal kepada peserta mengenai realiti industri penyiaran dan pendekatan menghasilkan kandungan media Islam yang berkesan, beretika dan berintegriti.
Inisiatif ini diharap dapat memperkukuh hubungan strategik antara akademia dan industri media, sekali gus melahirkan lebih ramai pendakwah, penerbit, wartawan, pembuat kandungan dan pengamal media Islam yang mampu membawa naratif dakwah secara lebih berkesan, beradab dan relevan dengan keperluan masyarakat moden.
