NILAI, 4 April 2023 – Menjelang Ramadan pastinya pelbagai program dilaksanakan oleh pelbagai institusi untuk menjadikan pengisian bulan mulia ini lebih bermakna. Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta My Aqsa Defenders, sebuah Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) juga tidak melepaskan peluang menganjurkan program jelajah sahur bagi menyantuni petugas barisan hadapan di lebih 10 lokasi di sekitar Nilai, Mantin, Pantai dan Lenggeng, Negeri Sembilan baru-baru ini.
Program yang melibatkan kira-kira 80 orang peserta termasuk 30 orang pelatih Kor Sukarelawan Polis Siswa/i USIM (SUKSIS) ini berjaya menyampaikan kira-kira 220 set makanan sahur kepada sebilangan warga USIM serta anggota-anggota yang bertugas di beberapa buah balai polis dan balai bomba terpilih antaranya Ibu Pejabat Polis Daerah Nilai, Balai Bomba Nilai, Balai Polis Mantin, Balai Polis Pantai, Balai Bomba Pantai, Balai Polis Lenggeng, Balai Polis Broga serta Balai Polis Pantai.
Naib Canselor USIM, Prof. Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani yang turut menyertai jelajah ini berkata “Program jelajah sahur ini merupakan salah satu program tanggungjawab sosial korporat (CSR) USIM@Community, di bawah salah satu agenda “USIM cemerlang, USIM Disayang”.
“Penganjuran program ini adalah sebagai salah satu manifestasi kebersamaan USIM bersama komuniti. Ucapan terima kasih diucapkan kepada Pusat Wakaf dan Zakat (PWZ) USIM, My Aqsa Defenders, PDRM serta pelatih Kor SUKSIS USIM yang telah menyumbang pelbagai barangan, tenaga dan masa dalam menjayakan jelajah sahur ini”. Ujar beliau lagi.
Sementara itu, bagi Muhammad Ruzaini Yaacob, Pelatih Kor SUKSIS USIM, mahasiswa tahun dua Program Sarjana Muda Bahasa Arab dengan Komunikasi, Fakulti Pengajian Bahasa Utama (FPBU) berkata, “Dengan menyertai program sebegini secara tidak langsung dapat memupuk semangat kecintaan terhadap amalan bersedekah dan sikap toleransi pada bulan Ramadhan serta menzahirkan penghargaan kepada petugas barisan hadapan yang bertugas menjaga keamanan, ketenteraman awam serta keselamatan negara.”
Program yang berakhir pada jam 4.30 pagi ini diakhiri dengan majlis penyampaian sumbangan bakul Rahmah kepada komuniti asnaf di Dewan Komuniti Pekan Pantai.
Turut hadir Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Dr. Adnan Mohamed Yusoff, Supt/KS. Dr. Hisham Bin Sabri, Pengarah Pusat Pembangunan Kemahiran Insaniah yang juga merangkap Timbalan Komandan Kor SUKSIS USIM, Supt. Ruslan Che Kar, Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Negeri Sembilan, DSP Tan Seng Guan, Pegawai Turus Koordinasi Sumber Sokongan JPJKK, Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan serta SM Mohamad Zalani Jaffar, Ketua Polis Balai Pantai.
Disediakan oleh:
Nor Fadzlina Azahari
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan