CHINA, 29 Ogos 2014 – Seramai 26 orang pelajar tahun 3 Ijazah Sarjana Muda Fiqh dan Fatwa Fakulti Syariah dan Undang-Undang telah menyumbang bakti di bumi Guangzhou, China bermula pada 24 sehingga 29 Ogos 2014.

Dengan berobjektifkan Global Islamic Student Outreach (GISO), mereka telah berkampung selama enam hari lima malam untuk menjalankan aktiviti khidmat masyarakat dari aspek sumbangan tenaga, ilmu dan material seterusnya menjadi mahasiswa yang prihatin dengan kebajikan masyarakat Islam seluruh dunia.

Bertemakan ‘Jom Siswa Jejak Di Guangzhou’, para peserta juga diterapkan dengan nilai kepimpinan dan sahsiah dalam diri pelajar serta pendedahan terhadap aktiviti pengantarabangsaan dalam menyumbang bakti dan jasa.

Antara aktiviti yang dijalankan di sana termasuk gotong royong membersihkan kawasan masjid, tadarus, dakwah jalanan, menyalurkan sumbangan kepada penduduk tempatan dan juga mewakafkan al-Quran kepada pihak masjid iaitu Masjid Huaisheng, Masjid Xian Xian dan Masjid Xiaodongying.

Menurut salah seorang peserta, Muhamad Shakir Abdul Sahood berkata, pengembaraan berkenaan memberi manfaat kepada peserta seperti dapat mengetahui budaya yang diamalkan oleh penduduk muslim cina di Guangzhou.

“Kami sempat menemubual imam Masjid Xiaodongying, beliau menceritakan komuniti Muslim di Guangzhou tidak mendapat peruntukan daripada kerajaan untuk membangunkan Islam disana.

“Dana yang mereka perolehi hanya daripada individu-individu yang sudi menyalurkan bantuan kepada pihak masjid. Berbeza dengan situasi kita di Malaysia yang sentiasa mendapat suntikan dana daripada kerajaan untuk terus membangunkan Islam,” katanya.

Muhamad Shakir juga sempat berkongsi kegembiraan apabila berpeluang menunaikan solat fardhu dan solat Jumaat secara berjemaah bersama penduduk serta berpeluang untuk melihat dan merasai sendiri suasana yang meriah dan unik di kawasan sekitar masjid pada hari jumaat.

Sementara itu, melalui pengembaraan ini juga, para peserta telah mengedarkan risalah mengenai USIM dan Fakulti Syariah Dan Undang-Undang (FSU) kepada penduduk di sana sebagai salah satu langkah untuk memperkenalkan USIM di peringkat antarabangsa.

Disediakan oleh:

Muhamad Shakir bin Abdul Sahood pelajar Fiqh & Fatwa tahun 4

Dikemaskini oleh :

PUSAT KOMUNIKASI STRATEGIK (STRACOMM)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan

Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204