PUTRAJAYA, 20 OGOS – Ahli akademik daripada Institusi Pengajian Tinggi yang menunjukkan pencapaian kesarjanaan yang cemerlang dalam bidang masing-masing dan mengharumkan nama Negara diperingkat kebangsaan dan antarabangsa telah diraikan dalam Majlis Anugerah Akademik Negara (AAN) 2011 dan 2012  bertempat di di Hotel  JW Marriott, Putrajaya.

Majlis anugerah penuh berprestij diperingkat Negara ini dirasmikan oleh YAB Tan Sri Dato’ Hj.  Muhyiddin Bin Hj. Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pendidikan Malaysia. Turut hadir YB Dato’ Seri Idris Jusoh, Menteri Pendidikan II, YB Datuk Mary Yap Kain Ching, Timbalan Menteri Pendidikan I dan YB Tuan P Kamalanathan, Timbalan Menteri Pendidikan II.

AAN yang mula dianjurkan pada 2006 memberi pengiktirafan kepada para sarjana dan kesarjanaan di peringkat tertinggi Negara melalui sumbangan mereka dalam bidang  pengajaran, pemindahan dan pengembangan ilmu, penemuan ilmu baru serta penulisan buku dan penerbitan.

YAB Timbalan Perdana Menteri dalam ucapan perasmiannya menyatakan “Anugerah ini merupakan satu tanda pengiktirafan tertinggi kerajaan kepada ahli akademik negara. Ini merupakan inisiatif kerajaan untuk merangsang kesarjanaan dan keintelektualan di dalam negara untuk terus berkembang. Buktinya, pada penganjuran AAN kali ini, jumlah wang tunai kemenangan telah ditingkatkan supaya anugerah ini dilihat setara dengan majlis pengiktirafan tertinggi yang lain”

Ahli akademik daripada USIM, Dr. Siti Nurazira Mohd Daud, Pensyarah Fakulti Ekonomi dan Muamalat (FEM) menjadi antara 14 orang penerima yang menerima pengiktirafan tertinggi di majlis ini. Melalui saringan dan penilaian yang ketat oleh Jawatankuasa Pemilih, penulisan pensyarah lulusan Sarjana Ekonomi dari UUM dan PhD dari University of Southampton, UK yang bertajuk Revisiting The Role of External Debt in Economic Growth of Developing Countries berjaya menggondol Anugerah Penerbitan Makalah Jurnal (Bidang Sains Sosial/Sastera) beserta hadiah berupa trofi, wang tunai RM 50,000 dan sijil penghargaan.

Penulisan beliau ini memfokuskan kepada kajian empirikal dan analisis data terkini bagi melihat pertalian hubungan antara hutang pertumbuhan ekonomi bagi Negara-negara membangun. Data yang diperolehi dari melalui Bank Dunia, World Development Indicator, Global Development Finance dan IMF mencakupi 31 buah Negara membangun antaranya Malaysia, Bolivia, Columbia, Egypt, dan Zambia dianalisis berdasarkan tahap hutang dan pendapatan Negara tersebut dalam tempoh  36 tahun.

Menurutnya “Hasil model kajian yang dibangunkan ini boleh dijadikan asas dalam penggubalan polisi dan dasar ekonomi bagi Negara-negara membangun untuk menjana pertumbuhan ekonomi yang lestari termasuk Malaysia. Ini kerana, matlamat asal pinjaman (hutang) adalah untuk menjana pelaburan Negara, meningkatkan pendapatan rakyat seterusnya membasmi kemiskinan, bukan sebaliknya”

“Melalui dapatan kajian ini, ia juga memberi penanda aras kepada para pelabur mengenai kemampuan sesebuah Negara dan kemampanan ekonominya untuk membayar semula pinjamannya di masa hadapan.”

Pada majlis yang sama, Anugerah Tokoh Akademik Negara 2011 dianugerahkan kepada Prof. Emeritus Dato’ Dr. Hajah Asmah Hj. Omar dari Universiti Malaya manakala penerima bagi 2012 adalah Prof. Emeritus Datuk Dr. Nik Safiah Abdul Karim (Universiti Malaya) dan Prof. Emeritus Dato’ Dr. Abdul Latif Ibrahim (Universiti Industri Selangor). Masing-masing menerima trofi, wang tunai RM 200,000 dan sijil penghargaan.

Disediakan oleh :

Noorumaina Mohamed Yunus
Penolong Pegawai Tadbir
StraComm

Dikemaskini oleh:

Mohd Zaini Othman
Penolong Pendaftar
StraComm