NILAI, 27 Februari 2022 – Pandemik Covid-19 tidak menghalang pengunjung dari mengunjungi Dewan Tuanku Canselor, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) untuk menyertai Karnival Jom Masuk IPT Zon 4 yang berlangsung sejak 26 Februari sehingga petang semalam. Majlis dirasmikan oleh Prof Dato Dr Mohamed Ridza Wahiddin, Naib Canselor USIM. Turut hadir Encik Wahi Nordin, Pengarah Bahagian Kemasukan Pelajar IPTA, Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pengajian Tinggi.

Program yang berlangsung dari jam 9 pagi hingga 6 petang itu mendapat sambutan daripada pelajar-pelajar sekolah termasuk calon PMR, SPM, STPM, STAM, Diploma, ibu bapa, guru-guru, kaunselor dan masyarakat setempat yang turut sama memeriahkan karnival ini.

Program ini telah menjelajah sebanyak 4 zon iaitu Zon 1 di Pulau Pinang, Zon 2 di Perak, Zon 3 di Kuching dan hari ini zon terakhir iaitu Zon 4 di Negeri Sembilan.

Sebanyak 60 pempamer mengambil bahagian yang terdiri daripada 20 IPTA, IPTS, Agensi Kerajaan seperti Perbadanan Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN), Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) dan banyak lagi.

Naib Canselor USIM Profesor Dato’ Dr. Mohamed Ridza Wahiddin berkata, pandemik telah memberi kesan yang mendalam terhadap pelbagai sektor termasuklah pengajian tinggi. Pandemik Covid-19 memberikan gambaran bahawa universiti berdepan dengan cabaran merentas impak teknologi, globalisasi dan ekonomi.

“Antara cabaran yang dihadapi oleh universiti adalah pelaksanaan PdP secara dalam talian, kejatuhan peratus Graduate Employbility (GE), kampus yang tidak digunakan secara menyeluruh dan pelbagai lagi. Namun, kita sebagai keluarga KPT perlu terus mengorak langkah dalam menjayakan serta merancakkan pendidikan tinggi walaupun ianya perlu dilakukan secara norma baharu.”

Menurut salah seorang pengunjung Nurul Faqihah Mohamad Sadri, 20, dari Bandar Baru Salak Tinggi, yang merupakan penuntut di Matrikulasi Selangor berkata, karnival ini memudahkan saya untuk mengisi permohonan UPU Online serta untuk mendapatkan maklumat tentang program pengajian yang sesuai dengan keputusan matrikulasi, di mana beliau merancang untuk sambung peringkat Ijazah dalam bidang Sains Komputer.

Sementara itu, penuntut Diploma Kejuruteraan Awam Politeknik Port Dickson, Tan Kiang Tong, 24, dari Seremban turut meluangkan masa pergi ke karnival ini untuk mendapatkan maklumat universiti awam dan juga swasta yang boleh menawarkan pengajian secara sambilan atau ‘part time’.

Mengakhiri fasa 1 karnival ini, USIM selaku tuan rumah menyeru pelajar yang ingin melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi untuk merebut peluang ini dengan hadir ke karnival pengajian tinggi yang diinisiatifkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) ini.

Fasa 2 akan bermula pada Jun 2022 bertempat di Kota Kinabalu, Sabah. Manakala bagi pelajar yang masih belum mengisi UPUOnline, boleh berbuat demikian sebelum 31 Mac 2022 ini.

 

Disediakan oleh:
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan